KUALA LUMPUR : Dilantik sebagai Perunding Kreatif Kementerian Luar, Datuk Seri Eizlan Yusof sedar tugas baharu yang dipikul itu merupakan satu amanah besar dalam misi membawa industri seni kreatif tempatan maju ke peringkat global.
Menurut Eizlan, jawatan tersebut yang dibentuk menerusi penubuhan Jawatankuasa Seni dan Budaya (ARCA) di bawah Kementerian Luar itu turut akan melibatkan golongan yang berpengalaman dalam pelbagai cabang seni dalam usaha mengangkat nama negara ke mata dunia.
“Alhamdulillah ini satu amanah yang besar untuk kemajuan industri. Saya akan membantu Ahmad Idham dan bekerjasama dalam satu pasukan untuk membawa industri seni ke peringkat lebih tinggi. Nama-nama lain juga akan diumumkan menteri tidak lama lagi.

“Bagi saya, ini adalah antara usaha untuk memastikan industri kita mampu bergerak lebih agresif dan saya percaya sudah tiba masanya filem, seni dan budaya kita menerjah pasaran antarabangsa.
“Sebelum ini mungkin ada yang bergerak sendiri. Bagi saya, sepatutnya dari dulu lagi mereka mendapat sokongan daripada kementerian.Maka kerana itulah kerajaan bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa khas ini,”katanya.
Eizlan berkata demikian bagi mengulas mengenai pelantikannya menerusi jawatan tersebut yang mana, surat pelantikannya telah diserahkan oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, semalam.
Selain Eizlan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri turut dilantik memikul tanggungjawab di Kementerian Luar sebagai Setiausaha Kebudayaan.
Mengulas lanjut, kata Eizlan, dia yakin penubuhan jawatankuasa ini akan memberi banyak kelebihan dan kebaikan khususnya dalam usaha memperkasakan lagi industri kreatif tanah air.
“Tentunya amanah yang dipikul ini berat. Namun saya seronok menerima cabaran yang diberikan. Apa yang saya harapkan ialah sokongan dan pandangan daripada semua pihak.
“Harus difahamkan bahawa jawatankuasa ini merangkumi semua industri seni dan budaya. Selepas ini mereka yang bawa nama Malaysia ke luar negara akan dapat sokongan penuh kerajaan, barulah lebih formal dan terancang.
“Kita nak memupuk perpaduan dalam industri sekali gus menunjukkan bahawa kerajaan tak melupakan industri kita ini,”katanya.
Dalam pada itu, Eizlan melihat tiada salahnya jika industri tempatan mencontohi perkembangan industri kreatif negara luar seperti di Korea Selatan.
“Lihat sahaja Korea Selatan, mereka dah menjengah dunia dengan pelbagai karya menarik dan bermutu. Bagi saya ini satu langkah baik yang dimulakan oleh kementerian untuk membantu menaikkan industri kita seperti di Korea. Sebab, kerajaan mereka menyokong bakat yang mereka ada.
“Menerusi seni dan budaya, ia juga satu cabang yang boleh membuatkan orang luar berminat untuk ke negara kita. Sudah tentu ia akan memberi impak yang baik kepada Kementerian Pelancongan.
“Kita seharusnya melihat usaha ini mampu pergi lebih jauh. Kita mahu impak satu impak positif yang mampu memperlihatkan industri seni kita lebih maju lagi pada masa akan datang,”katanya. -UTUSAN ONLINE



