MIU Nilai sumbang hadiah Deepavali

MIU Nilai sumbang hadiah Deepavali

KUALA LUMPUR – Perayaan Deepavali tahun ini begitu bermakna bagi sekumpulan 42 kanak-kanak Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Nanthisar, di Seremban, Negeri Sembila apabila menerima sumbangan barangan keperluan harian dari Manipal International University (MIU) di Nilai, Negeri Sembilan.

Kanak-kanak tersebut menerima bakul makanan, pakaian, pampers, kuih raya dan duit raya bagi membolehkan mereka bergembira sempena sambutan Deepavali esok.

Pasukan Tanggungjawab Sosial (USR) MIU diketuai Suhaimi Mohd. Sauh, Pensyarah Kanan di Sekolah Pengurusan dan Perniagaan (SOMB) dan Penolong Pengurus Operasi, Nurzanatul Nabila Sakedan menyerahkan sumbangan tersebut dalam satu majlis ringkas di rumah pertubuhan itu, di Jalan Temiang.

Sumbangan barangan dari MIU untuk kanak-kanak Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Nanthisar di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Nanthisar, Puan Latha berkata, kanak-kanak yang mendiami rumah berkenaan kebanyakannya berusia di bawah 12 tahun dan ada juga sebahagiannya berusia antara 13-18 tahun.

“Mereka asalnya anak-anak gelandangan dan dibawa ke sini untuk diberikan perlindungan dan penjagaan. Mereka juga dihantar ke sekolah supaya dapat mengikuti pendidikan secara formal,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan berkenaan.

Rumah Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Nanthisar beroperasi secara mandiri dan bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang awam. Selain sewa bangunan, rumah berkenaan terpaksa menampung keperluan makanan, persekolahan dan bayaran bil utiliti.

Terharu dengan sumbangan berkenaan, Latha menyifatkan kanak-kanak tersebut pasti gembira dan bertuah menerima sumbangan ketika sambutan Deepavali semakin hampir.

Deepavali dikenali sebagai Diwali dan Divali merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut beragama Hindu di seluruh dunia. Perkataan Deepavali adalah gabungan perkataan “Dipa” yang bererti cahaya dan “Gavali” yang bererti barisan. Perayaan Deepavali disambut pada hari ke-14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil antara bulan Oktober dan November.

Suhaimi berkata, sumbangan tersebut merupakan acara tradisi MIU pada setiap musim perayaan utama di negara ini bagi meraikan golongan kurang bernasib baik agar mereka turut sama bergembira.

Menurutnya, acara seperti itu akan diteruskan pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti untuk mendekati dan berinteraksi dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Antara barangan yang diserahkan kepada pertubuhan berkenaan termasuk pakaian, beras, minyak masak dan wang tunai. – MalaysiaGazette

Scroll to Top