PETALING JAYA: Pas menyifatkan pertandingan tiga penjuru antara UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tidak bermakna berakhirnya Muafakat Nasional (MN).
Sebaliknya, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, MN kekal sebagai wadah besar perpaduan majoriti umat Melayu Islam di Malaysia dan menganggap pertembungan itu adalah sekadar pertandingan adik-beradik.
“Pertandingan dalam PRN Melaka adalah untuk mengemukakan calon terbaik bagi mengemudi kerajaan Melaka.
“Ia hanya bagaikan pertandingan adik-beradik bagi berlumba menawarkan kebajikan. Dalam masa yang sama Pas bersama dalam kerajaan persekutuan menerusi payung Keluarga Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada UMNO,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, beliau menyeru ahli-ahli Pas dan UMNO supaya tidak terpengaruh dengan pihak yang cuba melaga-lagakan antara kedua-dua parti itu.
“Jangan diungkit cerita silam yang sememangnya mainan musuh untuk merungkai perpaduan. Usah menari ikut tarian Pakatan Harapan (PH).
“Ramai yang sedang membisikkan permusuhan. Usah berdendang lagu dan lirik syaitan yang menyeru pada perbalahan dan pergaduhan. Budaya politik matang dan sejahtera mesti kekal menjadi prinsip yang dipegang,” katanya.
Pada masa sama, Khairuddin berkata, Pas mengadakan kempen secara berhemah dengan menjelaskan misi dan perancangan politik.
“Usah terlajak menyerang UMNO dan BN, rakan kita dalam MN. Fokuskan peluru untuk menghadapi PH. Kita Pas, bukannya Bersatu mahupun UMNO.
“Rujukan kita semua ialah al-Quran dan al-Sunnah bukannya emosi mahu pun semata-mata semangat. Pesanan ini harap menjadi panduan kerana perpaduan ummah lebih mahal nilainya untuk dipertahankan,” katanya. – UTUSAN ONLINE




