Samakan antara pihak-pihak yang bertelingkah

Samakan antara pihak-pihak yang bertelingkah

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 18)

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

APABILA sesuatu kes dibawa ke mahkamah, banyak faktor yang perlu dilihat agar keadilan dapat ditegakkan. Islam sangat menekankan perkara ini. Di antaranya meletakkan plaintif dan defendan, pihak-pihak yang bertelingkah sama taraf di sisi hakim, magistret dan pegawai yang memutuskan hukuman.

Advertisement

Inilah yang diingatkan oleh Umar al-Khattab dalam suratnya kepada Abu Musa al-Asy’ari:

آسِ الناس في مجلسك وفي وجهك و قضائك حتى لا يطمع شريف في حَيفِك، و لا ييئس ضعيف من عدلك

“Samaratakan manusia pada tempat dudukmu, pada wajahmu dan penghakimanmu hingga orang yang mulia tidak rasa tamak kerana kecenderunganmu, dan orang yang lemah tidak putus-asa dari keadilanmu.”

Umar menyebut beberapa bentuk sama-rata:

i) pada tempat duduk.

Tiada tempat yang lebih tinggi dari yang lain. Kerusi yang sama. Keadaan yang sama. Tidak kira kluster kayangan atau rakyat marhaen.

ii) pada wajah. Cara memandang, bercakap, bahasa badan, jangan ditunjuk berbeza layanan antara plaintif, defendan, pihak-pihak yang bertelingkah.

iii) pada hukuman. Jangan ‘bias’. Mesti adil dan dilihat berlaku adil.

Semua ini diingatkan oleh Umar agar orang kenamaan tidak mengambil peluang, dan orang yang tiada nama istimewa dalam masyarakat tidak rasa terkilan akibat hukuman yang tidak adil.

Bentuk menyamaratakan ini sepatutnya berlaku hampir di semua tempat, keadaan, agensi dan institusi. Tidak sahaja di mahkamah.

Apabila tidak disamaratakan, timbullah perasaan tidak puas hati dari pihak-pihak yang bertelingkah. Kesannya kes dan isu tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Namun, ada juga masa dan keadaan yang tertentu, bentuk sama-rata secara total itu tidak dapat dilakukan. Contoh mudah, belanja anak-anak. Ada yang belajar di UCTATI. Ada yang belajar di Pasti. Tentu duit yang diberi untuk belanja tidak sama nilainya. Yang penting keadilan ditegakkan. Beri hak kepada yang berhak. Jangan zalim pihak yang lain. – HARAKAHDAILY 11/11/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

Scroll to Top