Brighton kejutkan Liverpool

London: Usaha Liverpool mempertahankan gelaran Liga Perdana berdepan ancaman sekali lagi apabila Brighton membuat kejutan dengan kemenangan mengejut 1-0 di Anfield manakala Manchester City mencipta jurang tiga mata di persada hasil kemenangan 2-0 mengatasi Burnley sebentar tadi.

Skuad kendalian Jurgen Klopp terpaksa membayar harga yang mahal kerana persembahan longgar apabila gol babak kedua Steven Alzate memberikan Brighton kemenangan sukar dilupakan berdepan juara bertahan yang berdepan krisis kecederaan itu.

Kemenangan pertama Brighton di tempat lawan berdepan Liverpool sejak 1982 itu dicipta pada minit ke-56 apabila Dan Burn menanduk hantaran ke arah Alzate dengan pemain tengah Colombia itu meledak ke penjuru gawang.

Liverpool kini di kedudukan keempat dan mengejar Manchester City dengan tujuh mata sementara pendahulu itu masih ada satu perlawanan dalam tangan.

Persembahan longgar Reds menyebabkan mereka terdesak untuk mendapatkan tiga mata apabila City yang berada di tahap terbaik berkunjung ke Anfield Ahad ini.
“Minggu yang sangat sukar, dua perlawanan tempat lawan, dua perlawanan sangat sengit dan malam ini kami tampak tidak cukup segar secara mental dan fizikal,” kata Klopp.

“Dalam banyak keadaan kami memberikan bola dengan sangat mudah. Ada ketikanya pemain kelihatan letih dalam aspek mental.

“Kami tidak meyakinkan. Kami membuat lebih banyak perubahan dan kemudian kami tiada rentak, jadi ia bermasalah.”

Skuad Pep Guardiola melihat Manchester United sama mata dengan pasukan berkenaan semalam apabila lawan itu membelasah Southampton 9-0.

Namun City meneruskan keazaman tinggi mereka di persada liga dengan persembahan baik di Turf Moor.

Gabriel Jesus membuka jaringan selepas kesilapan penjaga gol Burnley, Nick Pope dan Raheem Sterling menyambar gol kedua sebelum tamat babak pertama. – AFP

Malay News
Sports Desk

Scroll to Top