India arah Twitter sekat akaun protes petani

New Delhi : Twitter semalam menyekat sementara beberapa akaun dan ciapan berkaitan protes kumpulan petani di sini, selepas kerajaan India mengarahkan berbuat demikian.

Sumber Kementerian Teknologi Maklumat memberitahu, kerajaan mengarahkan syarikat gergasi media sosial itu untuk bertindak ke atas hampir 250 akaun Twitter dan ciapan yang menimbulkan ‘ancaman serius terhadap ketenteraman awam’.

Akaun disekat petang semalam, tetapi boleh diakses semula beberapa jam kemudian.

Puluhan ribu petani mengadakan protes sejak 26 November lalu di kem di pinggiran New Delhi, menentang pembatalan peraturan sektor pertanian India.

Minggu lalu, perhimpunan berubah ganas dan sejak itu, polis menahan puluhan petani dan seorang wartawan majalah Caravan.

Caravan, beberapa aktivis dan kesatuan petani, pemimpin pembangkang, seorang pelakon dan ahli ekonomi adalah antara pemilik akaun Twitter yang disekat di India.

Jurucakap Twitter berkata, ia mungkin perlu menahan akses bagi kandungan tertentu di sesebuah negara dari semasa ke semasa jika permohonan berdasarkan ruang lingkup betul dikemukakan.

Sementara itu, jurucakap kumpulan petani berkata, akaun mereka tidak melakukan kesalahan, selain menyokong tunjuk perasaan yang sudah lama diadakan.

Pengarang Eksekutif Caravan, Vinod K Jose, berkata sekatan ke atas akaun mereka adalah terbaharu dalam senarai panjang serangan disasarkan pihak berkuasa terhadap laporan diterbitkan majalah itu.

Pemerhati media global, Wartawan Tanpa Batas, membantah sekatan itu, yang antara lain disifatkan sebagai ‘kes mengejutkan mengenai tapisan secara terang-terangan’.

“Melalui arahan sekatan ini, Kementerian Dalam Negeri bersikap seperti ‘ Orwellian Ministry of Truth’ yang mahu menggunakan naratif tersendiri berhubung protes petani,” kata kumpulan itu.

Sumber: AFP

Malay News
Technology Desk

Scroll to Top