Tech Corp jual lesen teknologi gelembung halus

Tech Corp jual lesen teknologi gelembung halus

Kuala Lumpur: Tech Corporation Co Ltd (Tech Corporation) mengumumkan penjualan hak untuk melesenkan paten antarabangsa bagi teknologi penjanaan gelembung halus miliknya pada 1 Feb, di dalam dan luar negara, termasuk di Amerika Syarikat, China dan negara-negara Asia Tenggara.

Syarikat pemaju dan pengeluar peralatan berkaitan persekitaran dan kebersihan yang berpusat di Hiroshima, Jepun itu dalam satu kenyataan menjelaskan gelembung halus adalah gelembung yang lebih kecil daripada 100 mikrometer yang terapung di dalam air.

Gelembung halus mempunyai kesan pembersihan, mendorong pertumbuhan tanaman, pensterilan dan penembusan serta berkesan dalam mengekalkan kesegaran.

Ia dijangka dapat digunakan dalam pelbagai bidang seperti pemeliharaan alam sekitar, pertanian, perikanan, pemprosesan makanan, penjagaan kesihatan dan kecantikan.

Tech Corporation mempunyai hak paten di Jepun dan luar negara untuk teknologi menghasilkan ‘gelembung ultra halus’ kurang dari satu mikrometer.

Syarikat berkenaan turut mempunyai hak paten untuk menghasilkan ‘air elektrolisis gelembung halus’ yang dijangka mempunyai kesan pensterilan dan pembersihan.

Tech Corporation akan menjual lesen patennya kepada syarikat domestik dan luar negara yang mahu menghasilkan produk dan mengembangkan aplikasi menggunakan teknologi ini.

Sumber: BERNAMA

Malay News
Technology Desk

Scroll to Top