MPOB hasilkan formulasi snek minyak sawit merah

Kuala Lumpur: Penyelidik dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menghasilkan formulasi snek ekstrusi berasaskan minyak sawit merah yang enak, berkhasiat dan bebas daripada pewarna sintetik serta lemak haiwan.

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata teknologi inovatif MPOB yang berupaya untuk memperkaya lagi snek ekstrusi dengan pro-vitamin A khasiat minyak sawit merah, dikomersialkan di China.

“Inovasi ini dapat meningkatkan permintaan minyak sawit oleh China dan mengurangkan masalah kekurangan vitamin A dalam kalangan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan.

Makanan snek adalah pasaran baharu yang kian berkembang di China dan menjana AS$3.08 trilion (RM12.5 trilion) pada 2019, berbanding AS$30.4 bilion (RM123 bilion) dengan pengeluaran sebanyak 5.1 juta tan pada 2018.

Penduduk China, khususnya kanak-kanak, sangat gemar snek

ekstrusi, selain cenderung untuk membeli produk makanan kesihatan tanpa mengira harga.

Berdasarkan laporan, sebanyak empat juta tan snek ekstrusi dimakan oleh penduduk China setiap tahun.

Bagaimanapun, kebanyakan snek ekstrusi di China dibuat menggunakan pewarna sintetik dan lemak haiwan.

Ahmad Parveez berkata, disebabkan itu, MPOB menghasilkan inovasi yang menggunakan minyak sawit merah bagi menggantikan pewarna sintetik dan lemak haiwan dalam pembuatan snek ekstrusi.

“Snek ekstrusi ini sangat sesuai untuk dijual sebagai makanan premium di China yang penduduknya mementingkan produk makanan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, MPOB dengan kerjasama Universiti Shanghai dan salah satu pengeluar makanan snek terbesar di China, sudah menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan snek ekstrusi terbabit selama dua tahun sejak Julai 2018.

Menurutnya, snek ekstrusi berasaskan minyak sawit merah ini mendapat sambutan kerana ia produk yang enak dan berkhasiat.

“Kaya dengan nutrisi sawit dan karotena asli yang bebas daripada pewarna sintetik, produk ini amat sesuai untuk diambil sebagai makanan kesihatan.

“Pengusaha tempatan, terutama pengusaha kecil sederhana digalakkan untuk mengkomersialkan teknologi berpotensi besar ini kerana ia mengandungi nutrien semulajadi dan karotena yang dapat memperkaya kesihatan kita,” katanya.

Sumber – Berita Harian

Malay News
Technology Desk

Scroll to Top