1 maut, 4 cedera insiden tembakan di klinik

Washington : Seorang maut dan empat lagi cedera apabila seorang lelaki didakwa melepaskan tembakan kerana tidak berpuas hati dengan rawatan diterimanya di sebuah klinik kesihatan di Minnesota, semalam, menurut pihak berkuasa serta laporan media Amerika Syarikat (AS).

Polis menahan suspek dikenali sebagai Gregory Ulrich, 67, yang didakwa masuk ke Klinik Kesihatan Allina di Buffalo, Minnesota, sejurus sebelum jam 11.00 pagi dan melepaskan tembakan.

Siaran televisyen tempatan memaparkan beberapa tingkap klinik itu pecah, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia disebabkan letupan ataupun tembakan.

Ketua Polis Buffalo, Pat Budke, memaklumkan Ulrich dikatakan menyimpan dendam terhadap kemudahan perubatan itu.

“Ia membabitkan sejarah sejak beberapa tahun lalu, yang pasti ialah suspek tidak gembira dengan rawatan kesihatan diterimanya.

“Namun, tiada petunjuk bahawa kita akhirnya akan berada dalam situasi hari ini,” katanya pada sidang media.

Dalam kejadian itu, lima mangsa telah dibawa ke hospital, kata pihak berkuasa tanpa mendedahkan tahap kecederaan mereka.

Bagaimanapun, beberapa media AS kemudian melaporkan seorang mangsa terbabit meninggal dunia.

Mengulas lanjut, Budke berkata, berkemungkinan berlaku letupan sebelum tembakan dilepaskan.

Menurut laporan akhbar Star Tribune, suspek mendakwa ada bom di tempat kejadian sebelum dirinya ditangkap.

Polis memaklumkan, mereka menemui ‘bungkusan mencurigakan’ ketika menyelongkar bangunan terbabit, dan menjumpai peralatan lain di dalam bilik sebuah hotel berhampiran di mana suspek tinggal.

Polis percaya suspek bertindak sendirian dalam kejadian itu.

Sumber – AFP

Malay News
World Desk

Scroll to Top