Kuala Lumpur: Polis menyiasat mesej tular di aplikasi WhatsApp mendakwa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menyokong penerbitan buku berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang menimbulkan kontroversi, ditulis bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata pasukannya menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut.
“Kita buka kertas siasatan selepas bekas Ketua Polis Negara itu tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, pagi tadi untuk membuat laporan.
“Beliau (Ismail) menafikan mesej itu yang ditularkan bersama gambarnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada BH, hari ini.
Terdahulu, polis meminta diberi ruang untuk menyiasat isu buku itu yang didakwa berunsur hasutan, penghinaan dan fitnah.
Sebelum ini, polis dilaporkan menerima 134 laporan terhadap Tommy berhubung penerbitan bukunya itu.
Susulan itu, polis membuka tiga kertas siasatan daripada keseluruhan laporan polis yang diterima.
Sumber – Berita Harian
Malay News
Social Media Updates


