Kuala Lumpur: Penyampai radio Suria FM, Feeya Iskandar menimang cahaya mata lelaki, di sebuah hospital di Sri Kembangan, semalam. Menerusi entri laman Instagram (IG), Feeya berkongsi anak ketiganya dilahirkan dengan berat 3.38 kilogram.
Feeya berkata, dia bersalin lebih awal daripada tarikh jangkaan pada 19 Februari ini. “Sebelum ini, ada meramalkan saya akan menimang anak perempuan. Ada juga cakap raut wajah saya berseri, jadi ada beranggapan saya melahirkan anak lelaki lagi.
“Saya hanya membiarkan ia menjadi teka-teki. Alhamdulillah, akhirnya hero juga yang keluar. “Sudah tentu saya mengharapkan anak perempuan memandangkan sudah ada dua cahaya mata lelaki. Tetapi, saya dan suami terima pemberian Allah dengan hati terbuka,” katanya ditemani suami sepanjang proses melahirkan anak ketiganya itu.
Feeya atau lebih mesra disapa Cik Piah berkata, pengalaman melahirkan anak pada era pandemik COVID-19 memberi sisi yang berbeza. “Alhamdulillah, proses bersalin dipermudahkan. Insya-Allah, nama dan wajah anak akan dikongsi dalam masa yang terdekat.
“Saya melakukan ujian calitan beberapa hari sebelum masuk dewan bersalin, ia kewajipan. Kali ini bukan setakat sakit nak bersalin, tetapi kena jolok tekak dan hidung juga,” katanya berseloroh. Feeya berkata, awalnya, dia belum bersedia mahu hamil lagi.
“Ada dua hero pun bukan main mencabar. Tak sangka, Allah beri rezeki anak lagi,” katanya.-BH
Malay news
Showbiz Desk



