Tegucigalpa: Pihak antarabangsa mendesak Honduras menyiasat kematian ngeri enam wanita ketika dalam tahanan polis sepanjang tempoh empat hari lalu.
Antara lain, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) mahu pihak polis bertanggungjawab atas kematian itu, yang turut membabitkan seorang jururawat.
Polis Honduras berkata, Keyla Martinez, 26, ditahan Sabtu lalu kerana melanggar perintah berkurung bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di La Esperanza.
Pihak polis mendakwa beberapa jam kemudian, Martinez didapati ‘cuba membunuh diri’ di dalam bilik tahanannya.
Setiba di hospital, Martinez disahkan sudah meninggal dunia, manakala pihak pendakwa pula memaklumkan hasil bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat kesan gantung.
Bagaimanapun ibu mangsa, Norma Rodriguez, menegaskan kepada AFP bahawa beliau 100 peratus yakin anak perempuannya dibunuh.
“Dia dibunuh di penjara Polis Nasional, tempat sepatutnya dia dilindungi,” katanya, ketika menyertai hampir 200 ahli keluarga, rakan dan penyokong Martinez berjalan melalui pusat bandar La Esperanza, menuntut keadilan.
Gabungan Antirasuah kumpulan sivil mendesak pihak berkuasa mendakwa semua yang bertanggungjawab ke atas kematian mangsa, di mana hampir 90 peratus pembunuhan wanita di Honduras, tidak mendapat keadilan.
Selasa lalu, Amnesty International (AI) menggesa ‘siasatan segera, menyeluruh, bebas dan tidak berat sebelah ke atas kematian Keyla’.
Mereka juga mendesak pihak berkuasa menghentikan ‘penggunaan kekerasan melampau terhadap mereka yang sedang berkabung dan hanya mahu menuntut keadilan bagi mangsa.
Khamis lalu, PBB dan delegasi EU dalam kenyataan bersama di Honduras, mendesak pihak berkuasa menjelaskan fakta kes berkaitan dan semua yang dikaitkan dengan keganasan terhadap jantina secara menyeluruh, saksama, cepat dan telus.
Menurut kenyataan sama, keganasan terhadap wanita dan gadis meningkat ketika pandemik COVID-19 serta menyenaraikan kematian enam mangsa, termasuk Martinez sebagai ‘kematian ngeri’, yang berlaku dalam tempoh empat hari.
Kedutaan AS di Honduras, menerusi Twitter, mengakui sudah bercakap dengan Menteri Dalam Negeri Honduras berhubung kes Hernandez dan meminta siasatan segera lagi menyeluruh bagi semua kes terbabit.
Polis Honduras berkata, pegawai bertugas pada malam kematian Martinez kini disiasat.
Berdasarkan Observatory National Autonomous University of Honduras, seramai 6,045 wanita terbunuh di negara itu dalam tempoh 16 tahun manakala 30 terkorban tahun ini.
Sumber – AFP
Malay News
World Desk



