Kertas siasatan ADUN Sedili lengkap, kini di Bahagian Perundangan

Kertas siasatan ADUN Sedili lengkap, kini di Bahagian Perundangan

JOHOR BAHRU: Polis telah melengkapkan kertas siasatan melibatkan kes gangguan seksual bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain yang didakwa melibatkan seorang ahli jawatankuasa Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kertas siasatan tersebut telah diserahkan kepada Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada minggu lalu untuk tindakan lanjut.

“Kita masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor, di sini hari ini. 

Sementara itu, Kamarul Zaman turut memberitahu, setakat ini jumlah individu yang telah panggil untuk diambil keterangan melibatkan kes terbabit adalah seramai 11 orang.

“Kesemua mereka termasuklah Rasman sendiri dan mangsa yang membuat laporan berhubung kes itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN), Kamarul Zaman berkata, polis akan menggerakkan seramai 10,000 hingga 11,000 pegawai dan anggota bagi memastikan pelaksanaan pilihan raya itu berjalan lancar.

Beliau berkata, jumlah keanggotaan itu akan turut melibatkan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan juga daripada Bukit Aman.

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih menunggu prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam PRN Johor.

“Secara kasarnya, kita memang sudah membuat persiapan melibatkan jumlah anggota dan juga dalam mengenal pasti lokasi panas yang akan menjadi tumpuan.

“Jadi untuk PRN Johor ini, kita jangka seramai 10,000 hingga 11,000 polis akan berada di seluruh Johor untuk memastikan PRN ini berlangsung dengan aman dan selamat,” katanya.

Tambah Kamarul Zaman, pihaknya juga sudah menubuhkan satu pasukan khas untuk memantau pelbagai platform media sosial sepanjang tempoh PRN Johor bagi memastikan ia tidak disalah guna.

“Memang ada pasukan khas untuk pantau media sosial dan meneliti pelbagai fakta dan komen yang dibuat masyarakat, ini bagi memastikan tiada penyebaran maklumat palsu berlaku.

“Pasukan khas itu akan melibatkan pegawai dan anggota yang mahir dalam bidang teknologi maklumat daripada pelbagai jabatan dalam pasukan polis,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Scroll to Top