ahmad.suhael@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengekalkan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna domestik di Semenanjung, bagi tempoh bermula 1 Februari ini hingga 31 Disember 2024.
Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan keputusan pengekalan dibuat meskipun berlaku peningkatan kos bahan api dan kos penjanaan lain, sebanyak RM1.67 bilion antara 1 Julai hingga 31 Disember tahun lalu, akibat kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran hingga mencecah AS$200 per tan.
Bagi mengekalkan kadar tarif berkenaan, katanya, kerajaan memperuntuk dana sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos berkaitan.
“Di bawah mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang disemak setiap enam bulan, kerajaan memutuskan supaya bagi tempoh 1 Februari hingga 30 Jun 2022, pelaksanaan pelarasan tarif elektrik seperti berikut.
“Pemberian rebat 2 sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan. Untuk itu, tiada kenaikan tarif elektrik kepada pengguna domestik di Semenanjung.
“Selain itu, pengenaan surcaj 3.70 sen/kWj kepada semua pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri.
“Bagi mengekalkan pemberian rebat dan tanggungan kos surcaj ICPT sepenuhnya kepada semua pengguna domestik, kerajaan memperuntuk dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berita lanjut menyusul
© New Straits Times Press (M) Bhd




