Bot pelancong dan bot nelayan bertembung, 10 cedera

Bot pelancong dan bot nelayan bertembung, 10 cedera

JERTIH: Sepuluh termasuk dua kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun cedera apabila bot pelancong yang mereka naiki bertembung dengan bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut di sini, petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata 21 lagi individu yang menaiki bot pelancong berkenaan terselamat dalam kejadian itu jam 3.30 petang.

“Bot yang dinaiki pelancong berlepas dari Jeti Pulau Perhentian jam 2.30 petang dan insiden itu berlaku setibanya mereka di Jeti Pelancongan Kuala Besut kira-kira satu jam kemudian,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata lima anggota polis, lapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia berserta orang awam terlibat dalam operasi menyelamat mangsa.

Abdul Rozak berkata insiden itu telah dirujuk kepada Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata difahamkan insiden berlaku ketika bot pelancong sedang memasuki kawasan jeti, manakala bot yang dinaiki tiga nelayan ingin keluar dari kawasan itu.

“Semua mangsa dapat diselamatkan dan menerima rawatan di Hospital Besut serta Klinik Kesihatan Kuala Besut,” katanya. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top