Polis siasat kematian 40 lembu di Trong

Polis siasat kematian 40 lembu di Trong

bhnews@bh.com.my

TAIPING: Polis membuat siasatan lanjut berhubung kes kematian 40 lembu di Ladang Buah Naga Sungai Rotan Padang Gajah, Trong di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, sudah mengambil sampel tadahan air yang terdapat dalam tong besi serta racun tanaman untuk dianalisis.

Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah membuat bedah siasat dan mengambil jantung, limpa, paru-paru, hati dan ginjal untuk dianalisis punca kematian.

“Berdasarkan maklumat pengadu, sekitar jam 9.00 pagi ketika dia masuk berkerja di ladang itu, seorang rakan memaklumkannya mengenai penemuan beberapa lembu bergelimpangan.

“Pengadu segera membuat pemeriksan dan mendapati semua lembu yang tidak diketahui pemiliknya, telah mati.

“Susulan kejadian itu pengadu telah membuat laporan di Balai Polis Padang Gajah dengan tujuan tidak mahu bertanggungjawab atas kejadian itu,” katanya dalam kenyataan.

Osman berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya menemui semua lembu yang mati berada dalam lingkungan sekitar dua kilometer di ladang itu.

Jarak antara kandang lembu dengan ladang itu sekitar enam kilometer dan difahamkan pemilik lembu mempunyai 160 ekor lembu yang diternak dikawasan itu.

Polis katanya, akan membuat permohonan kepada JPV untuk mendapatkan laporan bedah siasat.

Terdahulu, media melaporkan seorang penternak mendakwa kerugian RM160,000 apabila 40 lembu baka Brahman peliharaanya mati dipercayai akibat diracun.

Kejadian dipercayai berlaku selepas haiwan berkenaan minum air yang dikhuatiri bercampur racun dalam sebuah tong di kawasan tempatnya mencari makan berhampiran sebuah ladang buah.

S Thangaraj, 36, mendakwa haiwan peliharaanya mati secara tiba-tiba selepas meminum air yang berada dalam tong di kawasan berkenaan.

“Pekerja menyedari kejadian itu selepas beberapa lembu tiba-tiba jatuh dan terus mati sebelum dia menghubungi saya yang tinggal di Manjung pada 5.30 petang semalam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top