NAYPYIDAW: Ketidaktentuan yang semakin memuncak di Myanmar sejak rampasan kuasa oleh tentera setahun lalu, didakwa mendorong berlaku peningkatan mendadak penghasilan narkotik di negara itu termasuk penyeludupan barang terlarang itu ke negara Asia Tenggara lain.
Perkara itu didedahkan seorang pegawai kanan Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) kepada Reuters.
Pihak berkuasa di Laos, Thailand dan Myanmar merampas sekurang-kurangnya 90 juta tablet methamphetamin bulan lalu, yang kebanyakannya dihasilkan di kawasan sempadan terpencil di Shan, sebuah negeri di Myanmar, menurut UNODC.
“Penghasilan methamphetamin meningkat tahun lalu dan sudahpun berada di paras melampau di Myanmar dan tiada tanda ia akan perlahan-lahan menurun,” kata wakil UNODC wilayah Asia Tenggara, Jeremy Douglas.
“Dadah dan konflik kekal tidak dapat dipisahkan di Myanmar. Satu suap yang lain,” katanya sambil menambah situasi huru-hara dan ketidaktentuan ‘berkesan’ terhadap aktiviti penyeludupan.
Kesusahan ekonomi mencengkam Myanmar sejak rampasan kuasa berlaku.
Douglas berkata, pekebun di Shan tidak ada pilihan dan mungkin akan kembali menanam opium dalam masa terdekat.
Negara jiran seperti Thailand, saluran tradisional untuk membekalkan dadah terlarang dihasilkan di Myanmar, menyaksikan 520 juta tablet methamphetamine dirampas pada tahun lalu.
Angka itu meningkat daripada 361 juta tablet pada 2020, menurut data Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB).
Rampasan kristal methamphetamin pula menyusut 22 peratus kepada 21.6 tan berbanding pada tahun 2020.
Namun, ia masih disifatkan sebagai tinggi berbanding rampasan sebanyak 18.2 tan pada 2019.
Pengeluaran dadah di segitiga emas yang merangkumi kawasan di utara Myanmar dan sebahagian Laos dan Thailand dikendalikan oleh geng jenayah Asia yang bekerjasama dengan puak bersenjata dalam kalangan beberapa etnik minoriti Myanmar.
UNODC turut mengesan ubat terlarang yang menguasai pasaran Asia-Pasifik hasil buatan kumpulan itu.
Di tengah-tengah hura-hara dan pergolakan awam di Myanmar berikutan rampasan kuasa, penganalisis dan pegawai berkata beberapa puak etnik minoriti yang terbabit dengan perdagangan dadah mengambil kesempatan meluaskan wilayah mereka. – REUTERS
© New Straits Times Press (M) Bhd




