BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) mencadangkan perubahan kepada peraturan sijil COVID-19 bagi melayakkan sukarelawan ujian vaksin mendapat pas yang sah meskipun menerima suntikan yang tidak diluluskan.
Ia berikutan kebimbangan dibangkitkan oleh BioNTech Jerman dan Hipra Sepanyol mengenai kesukaran mendaftarkan sukarelawan bagi ujian vaksin COVID-19.
Ini kerana mereka berdepan kesukaran mendapatkan sijil vaksinasi untuk mengakses ruang awam dan melakukan perjalanan.
Perubahan peraturan, yang turut melanjutkan kesahihan pas COVID EU sehingga akhir Jun 2023, membolehkan negara EU memperakui pengeluaran sijil vaksinasi kepada sukarelawan, yang sudah dilakukan sekarang oleh beberapa negara.
Ketika ini, sukarelawan berdepan halangan tidak mendapat perakuan vaksin sepenuhnya dan menghadapi sekatan apabila mengembara ke 27 negara anggota EU.
Jurucakap Suruhanjaya EU berkata beliau menjangkakan negara anggota akan mengiktiraf pas COVID-19 yang dikeluarkan kepada sukarelawan di negara lain dalam blok itu.
Cadangan itu juga harus diterima pakai oleh penggubal undang-undang dan kerajaan EU.
Sijil vaksinasi COVID-19 ketika ini diperlukan di banyak negara EU untuk memasuki restoran, gim atau pawagam.
Kata pegawai EU, syarikat yang menzahirkan kebimbangan itu adalah BioNTech, yang menjalankan ujian di Jerman dan negara lain terhadap dos penggalak yang menyasarkan varian Alpha dan Delta.
BioNTech juga melancarkan ujian klinikal minggu lalu dengan rakan kongsi Amerika Syarikat (AS), Pfizer, terhadap vaksin yang disesuaikan dengan Omicron, yang mana percubaannya sedang dilakukan di AS.
BioNTech berkata mereka mengalu-alukan perubahan yang membolehkan peserta percubaan memiliki sijil COVID yang sah.
Pengeluar ubat Sepanyol Hipra turut menzahirkan kebimbangan yang sama seperti BioNTech selepas syarikat itu merancang untuk merekrut 3,000 sukarelawan di Eropah untuk fasa terakhir ujian klinikal vaksinnya. – REUTERS
© New Straits Times Press (M) Bhd




