IPOH: Seorang pemandu treler membawa muatan dedak haiwan maut manakala tujuh individu cedera selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dan motosikal di Kilometer 34, Jalan Raya Timur Barat, di Tasik Banding, Gerik petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Nor Amin Mohamad Ismail, 37, dan pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 4.42 petang.
“Kami segera mengerahkan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik ke lokasi kejadian dan mendapati kemalangan membabitkan pelanggaran tiga kenderaan yang menyebabkan pemandu treler tersepit.
“Kelindan treler hanya mengalami kecederaan manakala lima mangsa menaiki kereta Proton Saga serta penunggang motosikal turut cedera,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Katanya, pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan memberi rawatan awal kepada mangsa cedera sebelum dihantar ke Hospital Gerik untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




