YANGON: Setiap hari sejak tiga bulan lalu, antara enam hingga tujuh keluarga di Myanmar meletak notis dalam akhbar kerajaan, menyatakan mereka memutuskan hubungan dengan saudara yang menentang junta
Notis ‘membuang’ anak, anak saudara atau cucu yang secara terbuka membantah pemerintahan junta tentera itu mula ketara November lalu.
Ini berikutan rejim tentera, yang merampas kuasa daripada pemerintahan demokrasi sejak setahun lalu, mengumumkan akan merampas harta benda penentangnya dan mereka yang ditangkap kerana melindungi penentang.
Seorang bekas penjual kereta, Lin Lin Bo Bo, yang menyertai kumpulan bersenjata menentang pemerintahan tentera, adalah antara yang diputuskan hubungan oleh keluarganya, dalam salah satu daripada 570 notis dilihat Reuters.
“Kami mengisytiharkan bahawa kami memutuskan hubungan dengan Lin Lin Bo Bo kerana dia tidak pernah mendengar kehendak ibu bapanya,” tertera notis yang dimuatkan ibu bapanya, San Win dan Tin Tin Soe, dalam akhbar pemerintah, The Mirror, November lalu.
Bo Bo, 26, memberitahu Reuters, dia kini tinggal di pekan dekat sempadan Thailand selepas meninggalkan Myanmar, ibunya mengambil tindakan itu selepas tentera datang ke rumah mereka mencarinya.
“Rakan seperjuangan cuba memberi keyakinan kepada saya bahawa ia langkah tidak boleh dielak oleh keluarga dan mereka melakukannya dalam keadaan tertekan.
“Hati saya luluh,” katanya, manakala ibu bapanya enggan mengulas apabila dihubungi Reuters. – REUTERS
© New Straits Times Press (M) Bhd




