New York City bakal pecat 3,000 pekerja langgar mandat vaksin

New York City bakal pecat 3,000 pekerja langgar mandat vaksin

NEW YORK: New York City bersedia memecat kira-kira 3,000 pekerja perbandaran pada Jumaat kerana gagal mematuhi tarikh akhir mendapatkan vaksin COVID-19.

Pemecatan dijangka berlaku di tengah-tengah rasa tidak puas hati yang semakin meningkat di Amerika Utara terhadap sekatan coronavirus dan ketika negeri lain secara unilateral menarik balik mandat pelitup muka.

New York City mewajibkan semua pekerjanya termasuk polis, bomba dan guru menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin di bawah arahan diluluskan oleh bekas Datuk Bandar, Bill de Blasio tahun lalu.

“Kami tidak memecat mereka. Mereka berhenti,” kata penggantinya, Eric Adams, pada Khamis.

“Tanggungjawabnya jelas. Kami berkata: jika anda diambil bekerja, jika anda mendapat pekerjaan ini, anda perlu mendapatkan vaksin. Jika anda tidak mematuhi peraturan, anda membuat keputusan itu,” katanya.

Seperti pemakaian pelitup muka secara mandatori, vaksinasi mandatori menjadi isu politik yang kontroversi di Amerika Syarikat (AS), dengan Texas yang diketuai Republikan bakal mengharamkannya.

Ratusan pekerja yang menentang keperluan vaksin New York berarak di Dewan Bandaraya di Manhattan pada Jumaat.

Kira-kira 95 peratus daripada tenaga kerja majlis perbandaran menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Jumlah 3,000 mewakili kurang daripada satu peratus daripada 370,000 pekerja perbandaran Big Apple itu.

Ribuan yang lain masih tidak mendapatkan vaksin tetapi telah memohon sama ada pengecualian dari segi perubatan atau agama untuk mengelakkan kehilangan pekerjaan.

Beberapa negeri lain, termasuk California, New Jersey dan Massachusetts mengumumkan minggu ini pemansuhan mandat pelitup muka di premis perniagaan atau sekolah.

Tindakan itu dibuat ketika kerajaan AS semakin bimbang mengenai bantahan diketuai pemandu lori terhadap sekatan coronavirus yang menutup ibu kota Kanada, Ottawa dan tiga lintasan sempadan AS.

Penyokong pergerakan itu di AS menggesa pemandu lori berkumpul di California pada awal Mac untuk perhimpunan dua hari sebelum mungkin menuju ke ibu negara Washington. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top