Suria Capital, Vandelay bina kompleks tenaga boleh diperbaharui

Suria Capital, Vandelay bina kompleks tenaga boleh diperbaharui

KUALA LUMPUR: Suria Capital Holdings Bhd telah memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan Vandelay Ventures Sdn Bhd bagi membangunkan Kompleks Perindustrian Tenaga Diperbaharui Sabah Maju Jaya (SMJREIC) di Teluk Sepanggar, dengan anggaran pelaburan bernilai RM700 juta.

Menurut syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, SMJREIC terdiri daripada loji minyak sayur-sayuran berhidrogen dengan kapasiti 250,000 tan setahun untuk menghasilkan bahan api penerbangan yang mampan daripada minyak masak terpakai, sisa lemak haiwan dan produk sisa industri termasuk pertanian yang lain.

Turut dimajukan adalah kompleks penapisan minyak sawit yang pertama dengan kapasiti 100,000 tan setahun bagi menampung keperluan bahagian dalaman serta Pantai Barat Sabah. Ini akan memberi manfaat kepada industri minyak sawit berdasarkan analisis kos jangka panjang.

Pembangunan itu juga merangkumi loji yang menghasilkan minyak masak bersubsidi, produk minyak sawit dan derivatif.

“Kemudahan itu akan memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi memastikan kelahiran penduduk tempatan yang berkemahiran yang kemudiannya, akan dapat meningkatkan lagi produktiviti serta pertumbuhan Sabah. Projek-projek ini disasarkan untuk siap menjelang 2025,” kata syarikat itu.

Suria Capital berkata kompleks itu juga dijangka akan membawa pelaburan langsung ke negeri ini, selain mewujudkan 10,000 pekerjaan melalui pelbagai industri sampingan.

Pengendali pelabuhan utama negeri dan anak syarikat milik penuhnya, Sabah Ports Sdn Bhd, akan menyokong aktiviti hiliran serta import/eksport produk mentah dan siap.

Kompleks perindustrian itu juga dijangka akan meningkatkan jumlah minyak pukal cecair yang dikendalikan di pelabuhan Sabah, kata syarikat itu lagi.

– Bernama

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top