PSM keliru tindakan PPS

PSM keliru tindakan PPS

sukhairi@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) jelas keliru di sebalik tindakan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) meluluskan penubuhan entiti baharu sepak takraw, Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC).

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan bagaimanapun tetap menghormati keputusan PPS yang meluluskan penubuhan MSC pada minggu lalu walaupun asas penubuhannya disifatkan kurang jelas.

“Saya menghormati keputusan PPS meluluskan MSC walaupun di pihak saya dan PSM tidak berapa jelas tujuan asas penubuhannya,” kata Sumali.

Minggu lalu, MSC menerima khabar gembira apabila permohonan penubuhan mereka diluluskan PPS dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama berserta pemilihan kepimpinan akan diadakan pada Sabtu ini di sebuah hotel di sini.

Dalam mesyuarat itu nanti, MSC dilaporkan akan mengesahkan penerimaan sijil penerimaan diterima selain menentukan hala tuju dan sasaran badan sukan berkenaan.

Selain itu, MSC juga akan mendapatkan persetujuan gabungan untuk memohon surat sokongan daripada agensi sukan negara seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi membolehkan mereka diterima sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan badan sukan sepak takraw antarabangsa yang lain.

Dalam pada itu, Sumali yang menang tanpa bertanding bagi jawatan nombor satu PSM berkata, setakat ini berkata mereka masih sah disisi undang-undang dengan diiktiraf MOM dan PPS.

“Tidak ada pula surat rasmi daripada MOM dan PPS yang tidak mengiktiraf kita, cuma yang ada sedikit masalah antara PSM dan ASTAF,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top