syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Hukuman sememangnya menanti mana-mana pasukan yang menarik diri selepas mengesahkan penyertaan bagi pertandingan di bawah kelolaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Mohd Firdaus Mohamed menjelaskan peruntukan itu memang termaktub dalam peraturan pertandingan sedia ada dan semua pasukan tahu mengenai perkara terbabit.
Namun, Firdaus memaklumkan Kelantan FC masih lagi belum ‘dihukum’ susulan kegagalan untuk menghantar pasukan belia bertanding dalam kejohanan kelolaan badan induk itu.
Ini kerana badan induk itu hanya menghantar surat makluman kepada skuad ‘The Red Warriors’ (TRW) bagi menerangkan implikasi sekiranya mereka benar-benar menarik diri daripada saingan terbabit.
“Sebenarnya perkara ini boleh dibincangkan sebelum surat penarikan diri itu dihantar tetapi apabila mereka menghantar surat itu, kita perlu menjawabnya berdasarkan peraturan yang termaktub.
“Mereka sudah sahkan penyertaan dan komitmen untuk bertanding pun sudah ada tetapi kini masa sudah singkat dan pendaftaran pemain pun sudah ditutup.
“Jadi, kita menjawab berdasarkan peruntukan sedia ada. Memang ada tindakan kepada mana-mana pasukan yang menarik diri selepas mengesahkan penyertaan, bukan sahaja di Malaysia tetapi di mana-mana negara sekalipun.
“Cuma buat masa ini, mereka belum lagi didenda kerana kita cuma menerangkan dari segi peraturan dan apa yang perlu dilaksanakan dalam situasi ini. Kalau semua pasukan tarik diri, ia akan memberi kesan kepada pembangunan.
“Saya berharap mana-mana pasukan yang bertanding dalam mana-mana pertandingan FAM, jika ada masalah atau sebagainya datanglah berbincang sebelum membuat sesuatu keputusan,” katanya.
Terdahulu, pemilik pasukan Kelantan FC, Norizam Tukiman menzahirkan rasa tidak puas hati selepas menyatakan pasukan itu bakal didenda oleh FAM susulan tidak menghantar pasukan belia untuk bertanding.
Usahawan yang lebih dikenali sebagai Zamsaham itu menjelaskan mereka tidak dapat menghantar pasukan itu kerana kelambatan FAM untuk membayar duit pengadil yang sudah pun dilunaskan pasukan bagi pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL), tahun lalu.
Norizam menegaskan pasukan itu tidak terbeban dengan isu kewangan, namun dia melihat FAM tidak memahami situasi semasa yang menyebabkan pasukan tidak dapat menjana kewangan dan tetap memaksa pasukan melakukan seperti diarahkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




