Premier Sarawak hanya simbolik, tiada pertambahan kuasa

Premier Sarawak hanya simbolik, tiada pertambahan kuasa

saiful.haizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR : Perubahan jawatan Ketua Menteri Sarawak kepada Premier Sarawak lebih bersifat simbolik selari dengan statusnya sebagai wilayah, bukannya memberikan jawatan itu lebih kuasa.

Bagaimanapun, dua penganalisis politik kelahiran negeri itu berpendapat, terjemahan ‘Premier’ dalam bahasa Melayu perlu dicari bagi mengelakkan kekeliruan dan mereka mencadangkan penggunaan terma Menteri Perdana atau Menteri Utama.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, menyifatkan perubahan nama jawatan itu adalah tindakan yang sejajar dengan Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memberi status Wilayah kepada Sarawak.

Katanya, ia bukan luar biasa kerana ada negara Komanwel lain seperti Australia dan Kanada menggunakan istilah ‘Premier’ untuk merujuk kepada ketua kerajaan negeri manakala Perdana Menteri merujuk kepada ketua Kerajaan Persekutuan.

“Saya lihat ia lebih kepada perubahan bersifat simbolik yang tidak membabitkan pindaan kuasa dan perubahan hak.

“Jadi tidak timbul isu bahawa pertukaran nama jawatan itu menjadikan bidang kuasa ketua Menteri Sarawak jadi lebih besar,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 bagi menukar terma Ketua Menteri kepada ‘Premier’.

RUU yang dibentangkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan disokong Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin, diluluskan selepas bacaan ketiga.

Mengulas lanjut, Awang Azman, berkata sekiranya ‘Premier’ diterjemahkan secara terus sebagai Perdana, ia akan mengelirukan masyarakat seolah-olah ada dua Perdana Menteri di negara ini.

Katanya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu menterjemahkannya dengan padanan yang tepat dan beliau mencadangkan Menteri Perdana atau Menteri Utama digunakan.

“Istilah ini tidak mengelirukan malah akan membantu terutama apabila membabitkan protokol dan majlis negara.

“Sarawak masih lagi dalam Malaysia dan perlu akur dengan penggunaan bahasa rasmi negara,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Jeniri Amir, berkata penggunakan ‘Premier’ itu antara lain adalah untuk menzahirkan Sarawak tidak sama statusnya dengan negeri lain di Malaysia termasuk Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai raja.

Namun katanya, terjemahan dalam bahasa Melayu perlu digunakan dan beliau turut bependapat, Menteri Perdana atau Menteri Utama lebih sesuai.

“Tidak ada istilah Premier dalam bahasa Melayu dan kalau nak guna ‘Premier’ juga, kena sebut sebagai Menteri Premier, bunyinya agak ganjil.

“Kalau Menteri Perdana atau Menteri Utama, ia lebih memberi gambaran dari segi makna,” katanya.

Dalam pada itu, Jeniri, berkata apa yang jauh lebih penting daripada perubahan nama jawatan itu ialah adakah ia dapat menterjemahkan semangat Perjanjian Malaysia (MA63) dalam konteks yang lebih besar.

Katanya, perubahan itu mestilah membawa bersama intipati semangat MA63 dan tidak boleh sekadar bersifat kosmetik.

“Yang perlu diterjemahkan ialah apa-apa hak yang terkandung dalam MA63 dan hak lain terutama dari segi geran dapat disalurkan oleh Kerajan Persekutuan. Saya fikir rakyat Sarawak mahu melihat itu juga,” tegasnya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top