SKUAD badminton wanita negara meneruskan rentak cemerlang Kejuaraan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 selepas mengejutkan juara bertahan Jepun sebelum ini apabila menjadikan India mangsa seterusnya setelah melakar kemenangan 3-2 dalam aksi Kumpulan Y di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada Rabu.
Pemain perseorangan wanita S Kisona terlebih dulu meletakkan pasukan negara di depan apabila menewaskan Aakarshi Kasyap 21-16,18-21, 21-16 dalam perlawanan tiga set sebelum gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan-Valeree Siow menjadikan kedudukan 2-0 setelah dengan mudah menjinakkan Khushi Gupta-Mehreen Riza 21-1, 21-6.
Bagaimanapun hasrat skuad negara untuk melebarkan kedudukan tidak kesampaian apabila pemain perseorangan kedua negara, Siti Nurshuhaini Azman tewas kepada Ashmita Chaliha 21-11, 21-19.
Biarpun begitu, kegembiraan India tidak kekal lama apabila Anna Cheong-Teoh Mei Xing memastikan kedudukan kembali 3-1 berpihak skuad negara apabila menewaskan Arul Radhakrishnan-Nila Valluvan 21-10, 21-12.
Sementara itu, hasrat Myisha Mohd Khairul untuk melabuh kempen menentang India dengan noktah kegembiraan tidak kesampaian apabila akur kehebatan Tara Shah selepas tewas 21-16 21-15 untuk kedudukan 3-2.




