KUDAT: Kira-kira 50 buah rumah setinggan di perkampungan atas air di Kampung Landung Ayang musnah dalam kebakaran yang berlaku petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, dianggarkan 50 buah rumah musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran yang berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 4.26 petang dan sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati sebahagian rumah di perkampungan atas air itu telah musnah terbakar.
Operasi pemadaman turut dibantu oleh pasukan bomba dari BBP Kota Marudu.
Sehingga 7 malam tadi, operasi pemadaman masih giat dijalankan dan setakat ini, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. – UTUSAN



