Tiga permintaan MFL ditolak kerajaan

Tiga permintaan MFL ditolak kerajaan

zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tiga permintaan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk ‘memperbaharui’ prosedur operasi standard (SOP) dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini ditolak oleh kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan permintaan yang dikemukakan pihaknya itu termasuk supaya membenarkan aktiviti makan dan minum di dalam stadium, hanya pemain yang positif COVID-19 dikuarantin serta menambah jumlah kehadiran penonton ke stadium.

Beliau berkata, MFL bagaimanapun tetap akur dengan keputusan kerajaan yang mana menganggap permintaan yang dipohon itu belum sesuai untuk dilaksanakan buat masa ini sebagai langkah mengekang penularan COVID-19.

“MFL perlu juga memastikan keselesaan penyokong bagi membolehkan mereka makan dan minum di dalam stadium, tapi buat masa ini tiada kebenaran untuk memberi kelonggaran kepada peraturan ini.

“Kedua, kita meminta juga pertimbangan menggunakan peraturan antarabangsa di mana jika pemain positif kena kuarantin dan yang negatif boleh terus bermain. Kita sudah alami di Piala AFF pun, ada dua individu (pemain) berkongsi bilik tapi yang negatif boleh pergi main dan positif kena kuarantin.

“Peraturan yang kita cadangkan bukan peraturan yang kita cipta sendiri, tapi peraturan yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa. Kita juga mendapat jawapan negatif yang mana kita tidak boleh diberi pertimbangan disebabkan oleh peraturan kerajaan.

“Permintaan ketiga iaitu tambahan jumlah penyokong ke stadium yang mana ia sebagai pertimbangan selanjutnya jika dua permintaan itu sudah boleh (dibenarkan).

“Tapi kalau dua ini (permintaan awal) tak boleh, yang ketiga ini tak akan lepas. Kita harap dalam kelonggaran pada masa akan datang, permintaan ini boleh dipertimbang semula. Jadi buat masa ini kita kekal dengan SOP yang dilaksanakan dalam liga musim lalu,” katanya ketika ditemui selepas majlis perkenalan penaja baharu Liga Super, Luno Malaysia, hari ini.

Mengulas mengenai tajaan yang diterima, Stuart mengakui pihaknya berbangga dapat menjalinkan kerjasama dengan Luno yang juga syarikat bursa aset digital yang terkemuka di negara ini.

“Nilai tajaan yang kami terima adalah RM1 juta untuk tempoh setahun dengan peluang lanjutan hingga penghujung musim 2023. Terima kasih Luno atas keyakinannya terhadap bola sepak Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top