Mampukah Conte sekat Guardiola di Etihad?

Mampukah Conte sekat Guardiola di Etihad?

arullah@bh.com.my

KOLUM APA KATA EPL

Selepas terus selesa di persada liga dengan himpunan 63 mata untuk kelebihan yang agak baik selepas 25 aksi, juara bertahan, Manchester City dilihat bakal teruji minggu ini apabila menyambut kunjungan skuad bimbingan Antonio Conte, Tottenham Hotspur.

Namun Spurs bakal hadir ke Stadium Etihad dengan rekod tiga kekalahan berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berbanding skuad Pep Guardiola, yang hanya tercicir satu mata dalam 15 aksi terakhir.

Skuad Conte pada awal musim dilihat sebagai antara pencabar kejuaraan liga, namun agak malang apabila tercicir, sebelum bangkit semula. Selepas 22 aksi, pasukan berpangkalan di London ini menduduki tangga kelapan liga dengan himpunan 36 mata.

Ketika ini Tottenham ketinggalan 27 mata di belakang City. Dengan peluang merebut kejuaraan liga sudah tertutup, impian mereka ketika ini jelas adalah untuk memburu slot terakhir ke Liga Juara-Juara musim depan selepas tercicir musim ini.

Jika mampu mengatasi City awal pagi esok, mereka sememangnya masih ada peluang. Soalnya, mampukah Spurs mengecewakan City yang akan menyambut mereka dengan motivasi tinggi selepas kenduri gol, 5-0 ke atas kelab Portugal, Sporting Lisbon dalam aksi pertama saingan 16 terbaik Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu?

Rekod lalu juga menyebelahi skuad Guardiola apabila hanya tewas sekali iaitu 2-1 pada Februari 2016 dalam 11 pertemuan di laman sendiri. Mungkin pembakar semangat Spurs bagi aksi ini apabila mereka menang 1-0 di London pada awal musim. Kita tunggu dan lihat.

Dalam pada itu, pasukan ditangga kedua, Liverpool dijangka tiada masalah untuk mengutip mata penuh apabila menyambut kunjungan pasukan tercorot liga, Norwich lewat malam ini sekali gus terus menekan City di puncak.

Kejayaan mengatasi juara Itali, Inter Milan, 2-0 aksi pertama 16 terbaik Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu sudah pasti menyemarakkan lagi semangat anak buah Jurgen Klopp meraih mata penuh dan mungkin dengan bilangan jaringan lebih besar.

Ketika ini The Reds ketinggalan sembilan mata di belakang City, namun masih memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Chelsea yang menduduki tangga ketiga liga ketika ini dengan himpunan 47 mata selepas 24 aksi, akan bertandang ke laman Crystal Palace lewat malam ini dengan harapan mencatat kemenangan dan sekali gus terus menghimpit Liverpool dan City di puncak liga.

Kejayaan merangkul gelaran Piala Dunia Kelab di Abu Dhabi minggu lalu sudah pasti meletakkan anak buah Thomas Tuchel pada situasi positif untuk memastikan tiga mata di bawa pulang bagi mengukuhkan kedudukan tiga teratas.

Dalam pada itu Manchester United yang kembali bersemangat selepas membenam Brighton 2-1 pada pertengahan minggu untuk kembali melonjak ke tangga keempat, akan bertandang ke Leeds dengan harapan meraih tiga mata penuh lagi. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ini:

West Ham 1-1 Newcastle

Arsenal 2-1 Brentford

Brighton 2-0 Burnley

Liverpool 3-0 Norwich

Southampton 1-1 Everton

Aston Villa 1-0 Watford

Crystal Palace 1-3 Chelsea

Manchester City 2-1 Tottenham

Leeds United 0-2 Manchester United

Wolves 1-2 Leicester City

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top