Tuan rumah SUKMA diputuskan mesyuarat jawatankuasa tertinggi

Tuan rumah SUKMA diputuskan mesyuarat jawatankuasa tertinggi

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan penentuan hak tuan rumah penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) diputuskan secara bersama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi yang dianggotai wakil semua 14 negeri.

Pendekatan diambil berdasarkan sistem penggiliran mengikut zon dan setiap negeri diberikan peluang menjadi tuan rumah temasya yang menjadi platform pertandingan bagi atlet di bawah umur 21 tahun.

“Sistem zon ini dibahagikan kepada lima iaitu Zon Utara (Kedah, Perlis, Pulau Pinang), Zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka, Johor), Zon Timur 1 (Pahang, Terengganu, Kelantan), Zon Timur 2 (Sabah,Sarawak) dan Zon Barat (Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan),” kata MSN dalam satu kenyataan selain menyatakan sistem pusingan tuan rumah ini mula dilaksanakan di Sabah pada 2002.

Sebelum ini, dua bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertelagah berhubung isu hak penggiliran penganjuran SUKMA kepada Kelantan.

Khairy yang memegang portfolio menteri dari 2013 sebelum ini menyangkal kenyataan Syed Saddiq dalam satu hantaran Tiktok yang mendakwa beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan pertama yang mengembalikan semula hak penganjuran SUKMA kepada Kelantan.

Khairy yang ketika ini memegang jawatan Menteri Kesihatan menegaskan Kelantan pernah ditawarkan menjadi penganjur temasya berkenaan melalui beberapa Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA selepas Perlis 2014 berjaya dianjurkan dengan cemerlang.

Mengulas lanjut mengenainya, MSN berkata: “Mengikut sistem penggiliran, Kelantan sepatutnya menjadi tuan rumah pada 2012, namun diberikan kepada Pahang apabila Kelantan tidak bersedia dari segi kemudahan dan infrastruktur sukan yang perlu disiapkan oleh kerajaan negeri.

“Seterusnya, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia pada 14 Mei 2015 memilih Perak selaku tuan rumah Sukan Malaysia XIX, 2018 dan Johor sebagai tuan rumah Sukan Malaysia XX, 2020 serta meminta perwakilan Kelantan mempertimbangkan kesediaan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia XXI, 2022.

“Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia pada 20 Mac 2019 kemudiannya meluluskan cadangan penggiliran tuan rumah antara kerajaan negeri dan Majlis Sukan Negara, bermula dengan MSN menjadi tuan rumah pada 2022. Mesyuarat turut memutuskan untuk berbincang dengan kerajaan Kelantan bagi penganjuran tahun 2024.

“Ekoran penularan wabak COVID-19 pada 2020, Mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pada 9 November 2020 bersetuju dengan permintaan kerajaan Johor untuk menunda penganjuran SUKMA ke tahun 2022.

“Pada mesyuarat sama, turut diputuskan ialah MSN menganjurkan SUKMA XXI bersama-sama Selangor atau Wilayah Persekutuan pada 2024 sementara Kelantan diputuskan selaku tuan rumah SUKMA XXII pada 2026.

“Johor bagaimanapun memohon kepada Jawatankuasa Tertinggi SUKMA supaya diberikan hak penganjuran SUKMA 2024 dan mesyuarat pada 28 Oktober 2021 meluluskan permohonan itu dan MSN selaku tuan rumah pada SUKMA 2022. Hak Kelantan selaku tuan rumah SUKMA XXII pada 2026 tetap kekal seperti diputuskan sebelumnya,” kata MSN

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top