WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, membatalkan pertemuan dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, minggu ini, selepas Moscow mula menceroboh Ukraine.
Pertemuan itu dijadualkan berlangsung di Geneva esok dengan harapan untuk menangani krisis Russia-Ukraine.
Blinken berkata, Presiden Russia, Vladimir Putin, sudah mengisytiharkan matlamatnya untuk melakukan penjajahan menyeluruh ke atas Ukraine.
“Kita melihat pencerobohan sudah bermula dan Russia secara jelas menolak usaha diplomasi, jadi tidak masuk akal untuk meneruskan mesyuarat itu pada masa ini,” katanya.
Dalam sidang media bersama Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, beliau berkata Washington akan berusaha menghalang serangan dilakukan ke atas Ukraine.
“Jika tindakan Moscow berubah, kita sedia untuk terbabit, namun Moscow perlu menunjukkan betapa seriusnya mereka.
“Tempoh 24 jam lalu, mereka membuktikan sebaliknya,” katanya merujuk kepada kenyataan Moscow yang sedia menghantar tenteranya ke wilayah Donetsk dan Luhansk.
Blinken berkata, jika Russia terus meningkatkan ancaman, pihaknya juga sedia melakukan perkara sama iaitu sekatan ke atas rakyat Russia dan institusi kewangannya seperti diumumkan Presiden AS, Joe Biden.
Sementara itu, Kuleba menyambut baik tindakan sekatan yang dilaksanakan.
“Kecaman adalah penting tetapi tindakan yang sangat penting ialah apa yang dilakukan ketika ini,” katanya.
Beliau berkata, strategi AS melaksanakan sekatan secara berperingkat adalah sesuatu yang baik jika dilakukan secara berterusan. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




