BRUSSELS: Sidang kemuncak tergempar Kesatuan Eropah (EU) bersetuju menghukum Moscow kerana menceroboh Ukraine dengan melaksanakan sekatan lebih teruk menyasarkan sektor kewangan, tenaga dan pengangkutan.
Pemimpin EU turut bersetuju untuk melaksanakan sekatan lanjut yang bakal mengakibatkan kesan lebih besar kepada Russia akibat tindakannya.
“Kita memerlukan pelaksanaan sekatan yang boleh menjejaskan (Russia),” kata Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo ketika ditemui sebelum menghadiri sidang kemuncak berkenaan.
Kesimpulan sidang kemuncak yang diterbitkan pada permulaan mesyuarat menyatakan sekatan itu meliputi sektor kewangan, tenaga dan pengangkutan, barangan dwiguna serta pembiayaan eksport dan eksport, dasar visa, selain menambah lebih ramai individu Russia ke EU dalam larangan perjalanan dan senarai pembekuan aset.
Sekatan itu akan berkuat kuasa sebaik sahaja rangka undang-undang disediakan dan diluluskan secara rasmi oleh Menteri Luar negara anggota serta diterbitkan dalam jurnal rasmi EU.
Langkah itu dijangka berkuat kuasa seawal hari ini atau esok selain pemimpin EU akan membincangkan usaha untuk meningkatkan sokongan politik, ekonomi dan kemanusiaan terhadap Ukraine.
Terdahulu, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, berkata cadangan sekatan itu adalah untuk mengganggu pertumbuhan ekonomi Russia dengan menjadikan kos pinjaman lebih mahal, inflasi meningkat, pengaliran modal lebih banyak dan menghakis perindustriannya secara beransur-ansur.
Beliau turut mencadangkan supaya dua bank Russia iaitu Bank Alfa dan Bank Otkritie dimasukkan dalam senarai sekatan, menghalang penyenaraian syarikat milik negara berkenaan di Bursa Saham EU dan menghalang pinjaman kepada perusahaan milik kerajaan dalam sektor aeroangkasa, automotif dan perkapalan.
Larangan eksport turut terpakai kepada peralatan dan teknologi Russia yang diperlukan untuk menaik taraf kilang penapisan minyaknya serta pada semua pesawat dan bahagian pesawatnya. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




