bhnews@bh.com.my
TAIPING: Seorang buruh menemui sebutir bom lama jenis mortar ketika melakukan kerja pembersihan di Sungai Tupai, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata bom lama itu ditemui lelaki berusia 47 tahun bersama tiga rakannya di atas tanah dalam sungai terbabit kira-kira jam 8.30 pagi.
Katanya, sepasukan polis dikerahkan ke lokasi untuk pemeriksaan sejurus menerima laporan mengenai penemuan bom lama terbabit.
“Bom bersaiz 42 sentimeter itu kemudian dimusnahkan kira-kira jam 12.55 tengah hari, dengan bantuan sepasukan anggota daripada Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.
“Semasa proses pemusnahan, tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan,” katanya ketika dihubungi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




