bhnews@bh.com.my
KUALA KRAI: Kira-kira 500 penduduk dari dua kampung iaitu Kampung Tanjung Kala dan Kampung Sungai Tasan terputus hubungan selepas jambatan Tanjung Kala ditenggelami Sungai Nal sejak awal pagi semalam.
Penghulu Mukim Kuala Pertang, Mat Ropi Abdullah, 47, berkata, jambatan besi sepanjang 47 meter itu ditenggelami lebih dua meter susulan hujan lebat berterusan sejak kelmarin yang mengakibatkan paras Sungai Nal meningkat mendadak.
“Setiap kali hujan atau musim tengkujuh, jambatan yang menjadi laluan utama penduduk ke bandar Kuala Krai sering ditenggelami dan mengambil masa hampir seminggu untuk surut, bergantung kepada keadaan cuaca.
“Apabila jambatan tenggelam, penduduk terpaksa menggunakan khidmat bot dengan tambang RM2 sehala jika perlu keluar membeli barang keperluan atau melakukan urusan masing-masing.
“Tiga tahun lalu, saya pernah membuat permohonan untuk menaik taraf jambatan Tanjung Kala dengan Ahli Parlimen Kuala Krai dan dua hari lalu projek berkenaan sudah pun diluluskan,” katanya ketika ditemui di Kampung Keroh, di sini, hari ini.
Penduduk Kampung Sungai Tasan, Muhammad Ab Manaf, 38, bersyukur kerana ada penduduk menyediakan perkhidmatan bot tambang setiap kali terputus hubungan dengan jalan besar.
“Petang semalam saya mula keluar mencari barang keperluan termasuk lauk-pauk untuk bekalan sekeluarga.
“Kami tak tahu bila banjir ia akan surut memandangkan hujan semakin lebat dan paras sungai turut meningkat,” katanya.
Pemandu bot tambang, Mohd Sufakimi Che Noh, 28, mula mengemudi bot pagi tadi bagi membawa penduduk yang mempunyai urusan di bandar.
“Bagaimanapun, jika ada kecemasan seperti penduduk sakit, mereka mendapatkan khidmat agensi penyelamat kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini memandangkan arus sungai yang deras selain perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




