bhnews@bh.com.my
PUTRAJAYA: Seorang pelajar Malaysia yang berada di Universiti Lviv, Ukraine, sudah dibawa keluar dari negara itu dan kini ditempatkan di di Kedutaan Malaysia di Warsaw, Poland.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataannya menyebut, semua rakyat Malaysia yang berada di kedutaan itu akan dibawa pulang ke Malaysia dalam waktu yang terdekat.
“Dalam pada itu, pelajar Malaysia di Russia akan terus berada di universiti masing-masing memandangkan jarak universiti agak jauh dari kawasan bergolak.
“Pihak KPT melalui pejabat Education Malaysia di London (EML) akan terus memantau perkembangan terkini konflik ini bagi memastikan keselamatan pelajar kita.
“Selain itu, KPT akan sentiasa berhubung dengan Kedutaan Malaysia di negara terbabit bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi semasa dan tindakan lanjut yang perlu diambil,” katanya.
Dalam pada itu, KPT meminta pelajar dan ibu bapa yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung perkara itu untuk menghubungi Lukman Zulkifly di EML di talian 00442079851251 atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628.
Terdahulu, pada 24 Februari lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin, mengarahkan pencerobohan ke atas Ukraine dan menyifatkannya sebagai ‘Operasi Ketenteraan Khas’ yang bukan bertujuan untuk menakluki negara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



