bhnews@bh.com.my
KUANTAN: Lapan sungai di Pahang merekodkan bacaan air melepasi paras waspada, membabitkan masing-masing dua di Jerantut, Maran dan Kuantan manakala satu di Bera dan Raub, setakat jam 11.15 pagi tadi.
Menurut maklumat dalam laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai berkenaan ialah Sungai Tembeling di Kampung Merting dan Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut.
Selain itu, Sungai Jempol di Rancangan FELDA Jengka dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran; Sungai Lepar di Jambatan Gelugor dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan.
Turut melepasi paras waspada ialah Sungai Lipis di Batu Malim, Raub dan Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataannya, memaklumkan amaran hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku di daerah Pekan dan Rompin, Pahang, hari ini.
Angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Tioman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




