WASHINGTON: Semakin banyak negara menggesa sekatan terhadap Russia ditambah sementara Ukraine mendakwa tindakan lebih agresif diperlukan bagi menghentikan pencerobohan Russia.
Negara Barat sudah mengenakan sekatan ekonomi dan kewangan selain menyekat pergerakan individu tertentu sejak negara itu menyerang Ukraine Khamis lalu.
Langkah berkenaan bertujuan melumpuhkan ekonomi Russia dan menghukum pemerintahnya kerana mengambil tindakan ketenteraan secara agresif dengan melanggar undang-undang antarabangsa.
Kesatuan Eropah (EU), Britain, Amerika Syarikat (AS) dan sekutu mereka sudah meningkatkan sekatan terhadap Russia sejak Ukraine diserang enam hari lalu.
Antara langkah itu termasuk mengeluarkan bank Russia tertentu daripada sistem mesej SWIFT sekali gus memutuskan mereka daripada sistem kewangan antarabangsa dan menjejaskan keupayaan mereka beroperasi pada peringkat global.
Larangan terhadap SWIFT akan melewatkan bayaran bagi eksport minyak dan gas yang diperoleh Russia.
Namun, Russia boleh mendapat bayaran melalui sistem lain, contohnya, Sistem Bayaran Antara Bank Rentas Sempadan China.
Negara Barat juga membekukan aset bank pusat Russia untuk mengehadkan akses simpanan di luar negara dan jualan kerakyatan melalui ‘pasport emas’ yang membolehkan orang kaya Russia menjadi rakyat negara lain.
Mereka, antara lain, turut melancarkan pasukan bertindak transatlantik untuk mengenal pasti dan membekukan aset individu serta syarikat dari Russia yang dikenakan sekatan.
Kedua-dua Britain dan EU berkata mereka merancang mengenakan sekatan ke atas Presiden Russia, Vladimir Putin dan Menteri Ehwal Luar, Sergei Lavrov.
Britain juga, antara lain, mengumumkan semua bank utama Russia akan menyaksikan aset mereka dibekukan dan dikecualikan daripada sistem kewangan Britain.
Sementara itu, negara EU mengenakan sekatan seperti menyasar 70 peratus pasaran perbankan Russia dan firma utama dimiliki negara itu, termasuk firma pertahanan.
Presiden AS, Joe Biden, mengumumkan langkah terhadap siri bank dan individu, sambil menambah bahawa AS dan sekutu akan menghentikan lebih separuh import barangan teknologi tinggi Russia untuk menghentikan negara itu membangunkan keupayaan pertahanannya.
Pembekuan aset bank pusat Russia akan mengehadkan keupayaannya mengakses simpanannya di luar negara.
Negara Barat juga boleh melihat pada pilihan untuk menyekat eksport minyak dan gas Russia, yang membentuk 20 peratus ekonomi Russia dan separuh pendapatannya daripada eksport.
Oleh itu, tindakan enggan membeli minyak dan gas Russia adalah satu sekatan yang amat berat, namun ia juga akan menjejaskan negara Barat yang bergantung padanya.
Russia membekalkan 26 peratus minyak mentah EU dan 38 peratus gasnya, maka pemotongan bekalan gas, walaupun singkat, akan menaikkan harga bahan api itu.
Sebaliknya, Kementerian Ehwal Luar Russia pula mengancam mengenakan sekatannya sendiri terhadap dunia Barat, yang antara lain, mungkin bermakna mengurangkan atau memutuskan bekalan gas ke Eropah.
Syarikat penerbangan Britain kini dilarang terbang dalam ruang udara Russia atau mendarat di lapangan terbang Russia.
Sekatan terhadap sektor perbankan Russia kemungkinan akan menjejas firma yang berniaga di Russia atau mempunyai aset dalam bank mereka.
Larangan eksport ke atas barangan teknologi tinggi pula akan menjejaskan banyak syarikat perkilangan pertahanan di Barat. – AGENSI.
© New Straits Times Press (M) Bhd




