LHDN yakin kutipan cukai RM139 bilion dicapai tahun ini

LHDN yakin kutipan cukai RM139 bilion dicapai tahun ini

KUALA LUMPUR: Sasaran kutipan hasil cukai berjumlah RM139 bilion tahun ini mampu dicapai dengan memastikan segala perkhidmatan disediakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dapat dilaksanakan sebaiknya.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi, berkata LHDN tidak akan mengambil pendekatan agresif untuk mencapai sasaran itu, sebaliknya menyediakan perkhidmatan khusus diperlukan pihak pembayar cukai.

“Kita hanya perlu memastikan segala perkhidmatan atau bantuan diperlukan pihak pembayar cukai itu diberikan. Kita memantau apa yang mereka perlu lakukan, tarikh tertentu atau bayaran dapat dilaksanakan.

“Dengan ekonomi dijangka berkembang baik nanti, sasaran dinyatakan itu boleh dicapai, malah boleh melebihi apa yang disasarkan,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘HASiL Memakmurkan Negara, Mensejahterakan Keluarga Malaysia’ terbitan Bernama TV malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, kerajaan menjangka kutipan hasil cukai akan kembali kepada paras sebelum pandemik COVID-19, sama ada memenuhi atau melebihi sasaran kutipan cukai berjumlah RM139 bilion tahun ini.

Ismail Sabri berkata, bagi menyokong hasrat ini, LHDN melalui pengurusannya perlu merangka pelbagai strategi jangka pendek dan sederhana untuk mencapai sasaran kutipan ditetapkan, dan pada masa sama mengekalkan prestasi yang baik pada masa depan.

Bagi 2021, hasil cukai meningkat sebanyak 17 peratus berbanding 2020 kepada lebih RM140 bilion.

Sementara itu, Mohd Nizom berkata, LHDN perlu merangka strategi bagi memastikan sistem pencukaian sedia ada bersifat lestari dan berpanjangan.

Katanya, LHDN akan mengambil pendekatan bagi memastikan peningkatan kadar pematuhan pembayaran cukai.

“Kita tidak mahu dilihat sebagai pihak yang mengambil pendekatan mencari cukai tambahan semata-mata kerana apabila pematuhan meningkat, sebagai contohnya rakyat mematuhi undang-undang, bayar dengan sepatutnya, maka ekonomi (dapat) berkembang dan hasil akan dapat ditingkatkan lagi,” katanya.– BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top