Nur Khawla Soleha permata hati Syamel, Ernie

Nur Khawla Soleha permata hati Syamel, Ernie

farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti, Syamel dan Ernie Zakri memilih nama Nur Khawla Soleha untuk puteri sulung yang selamat dilahirkan pada 22 Februari lalu.

Berkongsi berita itu menerusi akaun Instagram (IG), pasangan penyanyi lagu Aku Cinta itu mengharapkan, semoga permata hati mereka sentiasa dilimpahi rahmat Allah SWT.

“Assalamualaikum. Selamat datang ke dunia Nur Khawla Soleha. Semoga menjadi anak solehah daddy dan ibu.

“Membesar penuh keberkatan dan rahmat Allah SWT,” tulis Syamel dan Ernie.

Menerusi perkongsian itu, Syamel dan Ernie memuat naik foto jari jemari mereka menggenggam erat jari si kecil.

Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly menjelaskan, ada maksud di sebalik nama yang dipilih untuk puteri sulungnya itu.

“Awalnya, saya dan Ernie memilih Cahaya Khawla iaitu nama pahlawan wanita yang mengetuai peperangan ketika zaman Rasulullah SAW.

“Disebabkan kami sering merujuk cahaya mata pertama sebagai anak solehah, maka kami sepakat memilih nama Nur Khawla Soleha,” katanya kepada BH Online.

Ditanya bilakah bakal berkongsi wajah, Syamel berkata, mereka belum bersedia berbuat demikian.

“Terus-terang saya amat takut dengan komen netizen melihat situasi berlaku terhadap dunia media sosial, hari ini.

“Walaupun pada asalnya niat mendedahkan wajah anak untuk berkongsi kegembiraan bersama peminat, tetapi kita tidak tahu apa yang tersimpan dalam hati mereka.

“Enggan menimbulkan situasi kurang enak, selain langkah berjaga-jaga, kami belum bersedia mendedahkan wajah Khawla.

“Tunggulah apabila anak sudah besar sedikit, barulah kami akan berkongsi,” janji pemilik vokal ampuh itu.

Sementara itu, Syamel berkongsi pengalaman menguruskan isteri dan bayi selepas seminggu bergelar bapa.

“Secara kebetulan, Ernie dibenarkan pulang awal daripada hospital, jadi sayalah yang membantunya sementara menunggu pihak yang menguruskan Ernie ketika berpantang tiba.

“Sempatlah saya melakukan tugas sebagai ayah iaitu mandikan, buat susu dan tukar lampin bayi. Walaupun ada kala waktu tidur saya hanya beberapa jam, tetapi tidak terasa sangat sebab perasaan seronok mengatasi segala-galanya.

“Alhamdulillah, setakat ini, bayi kami tidak meragam hingga menangis tak henti-henti. Harapnya, ia berkekalan,” cerita Syamel.

Minggu lalu, pasangan ini mengumumkan khabar gembira apabila Ernie selamat melahirkan cahaya mata perempuan secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di ibu negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top