suzalina@bh.com.my
MUAR: Soal membabitkan siapa calon menteri besar (MB) jika PKR dan Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini bukan keutamaan gabungan parti itu.
Malah, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata perkara mengenai siapa pemimpin yang akan diangkat sebagai menteri besar juga tidak ada dibincangkan sehingga kini oleh pucuk pimpinan.
“Kita tidak ada perbincangan mengenai calon menteri besar daripada PH…bukan saya nak selindung tetapi memang tidak ada.
“Tidak ada rundingan pun dan perbincangan. Bagi saya itu bukan perkara utama dan kita boleh susun strategi masing-masing di peringkat PH melalui perbincangan itu, tetapi tidak ada. Jelas itu bukan keutamaan,” katanya kepada media di sini, malam ini.
Pada masa sama, Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, pihaknya tidak mahu fokus terhadap isu menteri besar memesongkan agenda PH untuk membantu rakyat dengan memenangi PRN Johor.
Katanya, strategi PH adalah bagi memenangkan semua calon gabungan parti itu yang bertanding sebagai sebuah pasukan dan bukannya hanya mengetengahkan seorang calon menteri besar.
“Kita perlu lihat bagaimana cara membantu rakyat dan saya rasa apabila kita bincang isu kepimpinan dan menteri besar, ia akan memesongkan kita daripada agenda sebenar,” katanya.
Mengulas ura-ura Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik adalah calon akan diangkat menteri besar, Syed Ibrahim bagaimanapun berkata, ia hanya anggapan daripada pihak media.
“Itu disebut oleh media, saya pun tidak keluarkan apa-apa kenyataan dan bagi saya itu adalah anggapan pihak media.
“Jadi kita berhenti di situ dan biarkan fokus kepada agenda rakyat,” katanya.
Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan menyertai PKR November lalu, diumumkan calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang pada PRN Johor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




