Asrama madrasah di Padang Nanas terbakar

Asrama madrasah di Padang Nanas terbakar

KUALA NERUS: Seramai 62 penghuni Madrasah Darul Ulum Al-Muhsinin Wannashirin di Kampung Padang Nenas di sini berdepan detik cemas apabila premis itu terbakar, malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 8.10 malam itu menyebabkan sebuah bilik asrama sementara dan stor makanan hangus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pengetuanya, Mohd. Nasran Jusoh berkata, kejadian berlaku ketika kesemua 56 pelajar bersama enam tenaga pengajar mengikuti kelas hafazan al-Quran di surau.

Katanya, situasi bertukar panik apabila salah seorang pelajar terlihat kepulan asap di bahagian atas bangunan dua tingkat itu sebelum menghubungi pihak bomba.

“Api merebak dengan cepat sehingga memusnahkan katil, pakaian pelajar di samping kelengkapan dapur di tingkat bawah termasuk peti sejuk dan bekalan makanan,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, pihaknya dengan kekuatan 19 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 9.12 malam.

Katanya, operasi ditamatkan pada pukul 9.30 malam dan jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan. – UTUSAN

Scroll to Top