bhnews@bh.com.my
KOTA BHARU: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) membaik pulih dan menaik taraf kemudahan tandas di 485 rumah ibadat pelbagai agama di seluruh negara.
Inisiatif yang bermula April tahun lalu itu membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta menerusi tabung dana Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan (KWSMP) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata setakat ini, kerja itu sudah mencapai 84 peratus dan hanya berbaki 78 tandas rumah ibadat yang perlu dibaik pulih.
Beliau berkata, ia dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei ini dan secara purata, sebanyak RM20,000 hingga RM30,000 diperuntukkan untuk sebuah rumah ibadat.
“Projek ini dikawal selia oleh SPAN dan diuruskan syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd.
“Objektif utama adalah untuk memastikan sistem pembetungan di rumah ibadat lebih mesra alam, dengan memperkenalkan penggunaan produk cekap air serta pengurusan sistem kumbahan yang lebih teratur dan berkesan.
“Secara amnya, sistem pembetungan di kebanyakan rumah ibadat adalah tangki septik. Kelantan adalah yang paling tinggi dibaik pulih iaitu 150 rumah ibadat, yang banyak menggunakan telaga tiub,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan dan menyerahkan projek menambah baik tandas Madrasah Haji Junoh, Kampung Paya Keranji, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Operasi Wilayah Utara dan Pantai Timur IWK Sdn Bhd, Hussain Omar.
Tuan Ibrahim berkata, projek itu turut membuka peluang pekerjaan kepada 485 kontraktor tempatan, yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) dan pemegang permit C4 di bawah SPAN.
Beliau berkata, projek itu akan diteruskan dengan peruntukan serta sasaran lebih besar.
“Ia adalah usaha kerajaan dalam membantu dan menyantuni rakyat tanpa mengira agama, meningkatkan ekonomi setempat selaras dengan Pelan Pemulihan Negara dan dasar penyayang Keluarga Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




