farihad@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Dijangkiti virus COVID-19 pada usia emas tidak menggusarkan bintang rock legenda, Datuk Ramli Sarip.
Biarpun warga emas dikategorikan golongan berisiko tinggi, namun, penyanyi berusia 70 tahun itu bersyukur kerana sembuh dan tidak mengalami gejala membimbangkan.
“Saya disahkan positif COVID-19 dua minggu lalu. Sepanjang dijangkiti, saya tidak alami gejala teruk. Cuma batuk, selesema dan penat. Tetapi rasa letih itu kerana saya sibuk bekerja.
“Walaupun ada mengatakan orang seperti saya berisiko tinggi jika dijangkiti, namun, Alhamdulillah, saya tidak menunjukkan gejala membimbangkan.
“Malah, saya lihat ada orang yang lebih muda iaitu berusia 40 dan 50 tahun lagi teruk keadaannya. Ajal dan maut semuanya ketentuan Allah SWT.
“Jadi, kita serah sahaja kepada-Nya,” kata bekas vokalis kumpulan Sweet Charity ini kepada BH Online.
Penyanyi yang mendapat jolokan Papa Rock ini tidak menolak keberkesanan suntikan vaksin COVID-19 dan dos penggalak menjadi pelindung ketika disahkan positif.
“Sejak awal lagi saya memang menggalakkan keluarga mendapatkan vaksin dan dos penggalak bagi mengekang penularan virus ini.
“Tidak dinafikan, ada dalam kalangan sahabat saya yang menolak vaksin. Saya hormati pendirian mereka. Saya hanya mampu menasihati mereka dengan memberitahu kebaikan diperoleh.
“Selain mengurangkan risiko jangkitan, ia membenarkan kita memasuki mana-mana premis serta masjid. Ini memudahkan kita untuk menunaikan ibadat,” ujar penyanyi yang cukup popular dengan lagu Perjalanan Hidup ini.
Ramli ditemui pada sesi ramah mesra bersama media sempena kemunculan album terbaharu berjudul Rasa yang dihasilkan ketika di terkandas di Singapura sejak dua tahun lalu.
Bercerita mengenai perancangannya, penyanyi bersuara serak ini menjelaskan dia akan kembali aktif membuat persembahan di Malaysia yang menjadi rumah keduanya.
“Sepanjang lebih dua tahun di Singapura disebabkan pandemik COVID-19, saya sangat rindu untuk kembali ke Malaysia.
“Justeru apabila peluang itu terbuka, saya tidak akan menoleh ke belakang. Alhamdulillah, saya terima banyak tawaran membuat persembahan.
“Saya juga ambil kesempatan ini untuk mempromosikan album Rasa kepada peminat yang merindukan lagu baharu saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




