Penantian seorang isteri yang menunggu kepulangan suami berakhir duka apabila insan tersayang maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) Arah Selatan, Gurun petang semalam.
Memetik laporan Harian Metro, mangsa Mohd Amirul Ismail yang menunggang motosikal sedang berteduh di bawah jejambat akibat hujan lebat sebelum dirempuh sebuah lori sehingga tercampak ke dalam longkang berhampiran.

Menerusi satu luahan di laman Facebook, isteri mangsa dikenali sebagai Fara Haziela terkejut dengan pemergian suaminya yang berusia 28 tahun itu dan memohon orang ramai untuk sedekahkan al-Fatihah.
“Semoga tenang di sana ya suamiku. Ya Allah b, sayang tak kuat b. Mohon sedekahkan al-Fatihah dekat suami saya. Semoga awak tenang di sana,” tulisnya.

Lebih menyedihkan apabila Fara dan Allahyarham suaminya baru sahaja empat bulan mendirikan rumah tangga yang pastinya berat ujian untuk diterima.


Difahamkan, pemandu lori yang berusia 28 tahun sudah direman tiga hari bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selain Mohd Amirul, seorang lagi penunggang Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim turut meninggal dunia manakala beberapa penunggang lain selamat dari kejadian berkenaan.
Sumber: Harian Metro (Izad Thaqif Hassan) , Facebook Fara Haziela & Anwar Syafiq




