Derita strok, ditinggal suami

Derita strok, ditinggal suami

KEPALA BATAS: Seorang wanita yang menghidap strok dan tibi kusut memikirkan nasib diri dan anak-anaknya setelah ditinggalkan suami yang merupakan seorang penagih dadah.

Azura Ahmad, 37, berkata, ekoran tidak mampu menguruskan anak-anak seramai enam orang hasil perkongsian hidup bersama bekas suami terdahulu dan sekarang, dia terpaksa membenarkan penjagaan ke atas dua anak lelakinya berusia 16 dan 17 tahun kepada bekas suami.

Seorang lagi anak lelakinya berusia empat tahun pula diserahkan kepada kakaknya.

“Memang tak mampu nak jaga (semua anak), yang ada dengan saya seorang anak lelaki berusia 14 tahun dan dua anak perempuan berusia 10 dan dua tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di Desa Kuala Muda, Penaga di sini, semalam.

Katanya, masalah yang dihadapinya kini ialah tidak mampu ke pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terdekat berikutan tiada kenderaan dan keadaan dirinya yang sukar bergerak.

“Borang semua saya dah isi, tapi disebabkan tiada sumber kewangan mencukupi nak bayar tambang pengangkutan dan sebagainya, saya terpaksa tangguhkan niat.

“Itu belum ditambah dengan kos pengangkutan berulang-alik ke Hospital Kepala Batas untuk dapatkan rawatan. Memang terbatas pergerakan,” katanya.

Azura menambah, dia juga sudah cukup malu untuk meminta bantuan jiran tetangga demi mendapatkan sekampit beras bagi mengalas perut mereka sekeluarga.

“Kalau nak harapkan adik-beradik pun mereka juga orang susah dan ada tanggungan. Tak sanggup saya nak susahkan mereka,” kata anak ketujuh daripada sembilan beradik itu.

Azura yang tidak mampu bergerak dari paras pinggang ke bawah ekoran terjatuh di dalam bilik air di kediamannya sejak lapan bulan lalu berkata, dia terpaksa menggagahkan diri untuk menguruskan rumah termasuk menyiapkan keperluan keluarga meskipun dengan berkerusi roda.

“Memang tiada pilihan, kena buat juga. Sebab dua anak dalam jagaan saya masih bersekolah kecuali yang paling bongsu. Ada masa kami sekeluarga tiada makanan, cuma makan biskut kering sahaja sebab keputusan bekalan makanan.

“Malah, saya juga runsing memikirkan nasib kami ketika bulan puasa nanti. Tak tahu bekalan makanan yang ada sekarang ni boleh bertahan sampai bila,” katanya yang pernah bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan dekat Kuala Muda, di sini sebelum diserang strok.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun BSN miliknya 0799-5411-0046-0973 atau menghubungi Azura di talian 013-8940210.

Scroll to Top