Cabaran pesakit epilepsi

Cabaran pesakit epilepsi

Hidup dengan epilepsi bukan satu perkara yang mudah. Kemungkinan untuk mengalami serangan atau sawan secara tiba-tiba bukan sahaja menyebabkan rasa lemas dan mencabar tetapi bagi kebanyakan pesakit, terasa traumatik.

Namun demikian, individu yang menghidapi keadaan neurologi ini akan berkongsi bahawa mereka mampu menguruskan keadaan yang dialami dan menjalani kehidupan yang aktif dan produktif.

Ia dapat dicapai dengan mengikuti panduan serta nasihat daripada pakar perubatan dengan mematuhi rawatan yang bersesuaian serta mengamalkan gaya hidup sihat seperti senaman, pelan diet yang betul berserta sokongan dan kasih-sayang keluarga dan rakan-rakan. 

Epilepsi adalah penyakit kronik pada otak yang paling kerap ditemui. Penyakit ini memberi kesan kepada segenap usia individu tanpa sempadan geografi, sosial mahupun bangsa.

Ia dikenalpasti menerusi serangan yang kerap dialami disebabkan oleh gangguan pada aktiviti elektrikal otak yang menghalang sistem penyampaian mesej antara sel otak buat sementara waktu. 

Menurut Ketua Unit Pertubuhan Kesihatan Dunia World Health Organization(WHO), lebih 50 juta individu di seluruh dunia mengalami epilepsi dan hampir 80 peratus daripada mereka tinggal di negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah.1

Dalam satu kajian yang dijalankan di Malaysia pada tahun 2021, dilaporkan kadar prevalens epilepsi dalam kehidupan (atau risiko mengalami serangan epilepsi dalam sebarang peringkat hayat) adalah 7.8 dalam setiap 1,000 penduduk.

Manakala kadar prevalens untuk epilepsi aktif (serangan sawan yang berterusan atau memerlukan rawatan) adalah 4.2 dalam setiap 1,000 penduduk.2

Menurut Ketua Unit Neurologi Pediatrik, Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur Dr Ahmad Rithauddin Mohamed, serangan epilepsi memberi kesan yang berbeza kepada individu, bergantung pada bahagian otak yang terlibat.

Serangan umum, ia bermula dengan aktiviti elektrikal tidak normal yang berlaku secara tiba-tiba pada seluruh bahagian otak, sementara serangan fokal berpunca daripada aktiviti elektrikal tidak normal pada satu bahagian otak, tetapi ia juga boleh tersebar ke bahagian-bahagian lain.

“Bergantung pada jenis serangan, tanda-tanda dan simptom terlibat kebiasaannya mungkin disifatkan menerusi cara pesakit termenung, kejang otot, kekeliruan mental, hilang sedar, pergerakan otot yang tersentak, berulang atau beritma, tidak sedar dengan keadaan sekeliling dan tubuh yang kaku.

“Secara amnya serangan epilepsi adalah antara beberapa saat hingga minit dan akan terhenti dengan sendirinya. Bagi sesetengah individu, mereka tidak akan teringat tentang serangan yang dialami setelah kembali sedar,” katanya.

Epilepsi boleh memberi kesan terhadap pelbagai fungsi mental dan fizikal pesakit. Ia berupaya membawa kepada kemurungan, keresahan, gangguan kognitif dan daya ingatan serta menyebabkan kecederaan berkaitan serangan.

Epilepsi juga berupaya memberi kesan terhadap hubungan sosial dan peningkatan kos penjagaan kesihatan.

Dr Ahmad menjelaskan bahawa terdapat pelbagai punca epilepsi dan ia mengikut usia pesakit.

Di peringkat kanak-kanak, ketaknormalan dalam struktur otak dan faktor genetik lebih biasa dilihat.

Manakala di peringkat dewasa, epilepsi berikutan kecederaan pada keadaan otak seperti strok dan sklerosis multipel (multiple sclerosis) adalah lebih meluas.3

Punca-punca lain termasuk tumor otak dan sekuela trauma kepala atau jangkitan otak. Dalam kebanyakan kes, punca serangan tidak dapat ditentukan dengan jelas.

Namun demikian, perkembangan terkini dalam pengujian genetik dan pengimejan otak kini berupaya mendedahkan punca dalam sesetengah kes yang tidak diagnosis ini4

Dr Ahmad Rithauddin bin Mohamed, Ketua Unit Neurologi Pediatrik, Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur

Sungguhpun demikian, individu tidak semestinya menghidapi epilepsi walaupun pernah sekali mengalami serangan.

Demam panas, kandungan gula dalam darah yang rendah, kecederaan teruk pada kepala, kekurangan oksigen atau sebilangan keadaan kesihatan lain juga mampu mencetuskan serangan.

Oleh itu, anda digalakkan untuk mendapatkan nasihat doktor setelah mengalami serangan. Bergantung kepada keperluan, anda mungkin akan menerima rujukan pakar neurologi untuk penilaian lanjut. 

Pakar neurologi akan menyemak sejarah kesihatan dan insiden serangan anda, menjalankan pemeriksaan neurologi yang menyeluruh dan mungkin akan mengesyorkan beberapa siri ujian kesihatan untuk memahami keadaan anda dengan lebih baik.

Antaranya, elektroensefalogram (EEG), pengimejan resonans magnetik (MRI) otak dan kemungkinan juga, ujian darah. 

Dianggarkan 70 peratus pesakit epilepsi mampu bebas daripada keadaan itu sekiranya mereka menerima diagnosis dan rawatan yang betul.

Sungguhpun demikian, kira-kira tiga perempat pesakit epilepsi, khasnya yang tinggal di negara-negara berpendapatan rendah, tidak menerima rawatan yang diperlukan dan kadar ini meningkat kepada 90 peratus di sesetengah negara.5

Selama berdekad-dekad lamanya terapi epilepsi adalah ubat-ubatan anti-serangan (ASMs) yang berkesan bagi kebanyakan pesakit.

Kajian telah menunjukkan bahawa lebih satu pertiga daripada pesakit epilepsi tidak dapat bebas daripada serangan dengan pengambilan ASMs.6,7

Satu kebimbangan utama adalah kadar kematian tinggi dalam epilepsi rintangan ubatan. Serangan yang tidak terkawal juga meningkatkan risiko kematian awal sehingga 10 kali ganda.8

Dalam kes-kes epilepsi rintangan ubatan, prosedur pembedahan disyorkan sebagai rawatan barisan awal bagi pesakit yang menghadapi lesi otak.

Sementara kaedah ini telah terbukti berjaya bagi sesetengah pesakit, namun terdapat individu yang tidak sesuai mengikuti cara rawatan yang sama.

Terapi alternatif yang disediakan termasuk diet ketogenik dan pemakanan yang kaya dengan lemak.

Selain itu, bergantung kepada jenis terapi, pesakit juga boleh berbincang dengan pakar neurologi mereka untuk meneroka diet yang mengandungi pelbagai kandungan protein dan karbohidrat.

Rawatan berasaskan rangsangan neurologi telah menarik minat ramai sejak sedekad lalu. 

Antaranya adalah terapi Stimulasi Saraf Vagus (VNS), sering kali dirujuk sebagai perentak otak, yang membantu mengurangkan frekuensi serta mencegah serangan dengan menghantar stimulasi elektrik sederhana dan berterusan ke otak menerusi saraf vagus.

Terapi VNS juga dikenali ramai atas kemampuannya untuk mengurangkan tahap keterukan dan frekuensi serangan epilepsi serta menawarkan peningkatan kualiti kehidupan kepada pesakit.

“Satu pendekatan komprehensif juga kritikal dalam menguruskan epilepsi secara efektif. Pesakit-pesakit penyakit ini seharusnya mengamalkan gaya hidup yang sihat, tanpa stresor dan mengelilingi diri mereka dengan rasa kasih-sayang dan sokongan keluarga serta rakan-rakan untuk membantu mereka mendepani keadaan yang mencabar ini.

“Mempunyai minda yang positif juga amat penting. Matlamat akhir adalah untuk menguruskan serangan epilepsi dan menjalani kehidupan normal sebaik mungkin,” nasihat Dr Ahmad.

Rujukan :

1 www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/epilepsy

2 pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/33440303

3 https://www.epilepsy.com/learn/about-epilepsy-basics/what-causes-epilepsy-and-seizures

4 https://www.epilepsy.com/learn/epilepsy-due-specific-causes/genetic-causes-epilepsy

https://www.who.int/health-topics/epilepsy#tab=tab_1

6 Kwan P, et al. Epilepsia. 2010;51:1069-77

7 Mohanraj R, et al. Eur J Neurol. 2006;13:277-282

8 Alexopoulos, Andreas. (2013) Pharmacoresistant Epilepsy : Definition and explanation. Epileptology. 1.38-42.    https://doi.org/10.1016/j.epilep.2013.01.001

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top