KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. menyatakan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengetahui bahawa bank Maybank merupakan salah satu bank yang terlibat bank yang memberi pinjaman pada ketika itu.
Selain itu juga, sejak 2006 hingga 2014, Kumpulan Maybank dalam laporan tahunannya telah mendedahkan kepada umum bahawa Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang mendengar dan memutuskan Najib bersalah atas tuduhan penyelewengan dana RM42 juta SRC International merupakan peguam (general counsel) dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul penglibatan Hakim Mohd. Nazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan turut dihebahkan oelh media sebelum perbicaraan bermula.
“Pemohon (Najib) mengetahui kedudukan Hakim Mohd. Nazan di Maybank sepanjang perbicaraan dan tidak membuat sebarang bantahan terhadap Hakim Mohd. Nazlan mendengar perbicaraan itu. Pemohon tidak menunjukkan sebarang konflik kepentingan di pihak Hakim MOhd. Nazlan apabila beliau mendengar perbicaraan kes SRC,” kata Mohd. Ashrof.
Timbalan Pendakwa Raya itu berkata demikian dalam afidavit jawapan terhadap permohonan notis usul yang difailkan oleh Ahli Parlimen Pekan itu pada 6 Jun lalu memohon agar perbicaraan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International dibatalkan sepenuhnya atau dibicarakan semula.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mohd. Nazlan mensabitkan Najib atas tujuh tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta dan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dipenjara 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta.
Pada 8 Disember 2021, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan Najib dan mengekalkan keputusan berhubung sabitan dan hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi KUala Lumpur.
Selain itu, Mohd. Ashrof menyatakan dakwaan-dakwaan Najib tidak lain dan tidak bukan hanyalah suatu tipu muslihat (red herring) untuk mengisytiharkan perbicaraan SRC International terbatal.
“Najib mengakui mempunyai akses dan pengetahuan berkenaan siasatan SPRM berkaitan dengan 1MDB yang mana ia tidak relevan kepada perbicaraan kes SRC International. Perkara-perkara yang tidak relevan kepada rayuan ini yang dikaitkan kepada seorang bernama Michael Oh-Lau adalah keterangan dengar cakap dan tidak boleh diterima masuk dalam apa jua perkara yang tidak berkaitan dengan perbicaraan SRC International,” katanya.
Mohd. Ashrof dalam afidavit itu turut memberitahu pengetahuan yang dikatakan ada pada Hakim Mohd. Nazlan berkenaan pinjaman oleh 1MDB tidak menghalang Hakim Mohd. Nazlan daripada membicarakan kes SRC International.
“Saya menyatakan tidak ada konflik kepentingan ditunjukkan dalam Hakim Mohd. Nazlan mendengar perbicaraan SRC International. Pemohon tidak menunjukkan sebarang pertalian antara dakwaan pemohon dan pertuduhan jenayah yang dibicarakan oleh Hakim Mohd. Nazlan. 1MDB dan SRC adalah entiti undang-undang yang berbeza. SRC beroperasi secara berasingan dan bebas dari 1MDB pada semua masa material,” ujar Mohd. Ashrof.
Tambah pendakwa raya itu, Najib sekadar membuat spekulasi bahawa beliau mungkin mendapat satu penghakiman yang memihak kepadanya sekiranya Hakim Mohd. Nazlan mengundur diri daripada membicarakan kes penyelewengan dana SRC International itu.
“Keterangan yang amat banyak yang dikemukakan semasa perbicaraan telah membuktikan kes pendakwaan terhadap Najib melampaui keraguan yang munasabah. Pihak pendakwaan secara konklusif telah menunjukkan bahawa wang RM42 juta dari akaun SRC International telah dipindahkan ke akaun AmISlamic Najib,” kata Mohd. Ashrof.
Oleh yang demikian, pihak pendakwaan menyatakan notis usul yang dikemukakan oleh Najib tidak mempunyai sebarang merit dan pemohon juga telah gagal untuk memberikan justifikasi yang diperlukan bagi membolehkan mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan pengemukaan keterangan tambahan.
“Oleh itu, saya dengan rendah diri memohon agar permohonan yang dipohon oleh Pemohon dalam Notis Usul tersebut ditolak,” ujar pendakwa raya itu. – UTUSAN




