IPOH: Kru penerbangan pesawat ringan jenis Piper-28 yang terhempas di Jalan Raja Dr. Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng, di sini malam tadi sempat melaporkan situasi kecemasan pada pukul 8.07 malam sebelum terputus hubungan selepas itu.
Syarikat Penerbangan Bats Aviation Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, enjin pesawat ringan berkenaan dihidupkan pada pukul 7.50 malam sebelum berlepas dari landasan empat, 10 minit kemudian.
Bats Aviation juga mengesahkan dua individu yang terlibat dalam kejadian berkenaan adalah jurulatih penerbangan syarikat itu.
“Seorang juruterbang maut manakala seorang lagi berada di dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya.
Menurut Bats Aviation, insiden tersebut telah dilaporkan kepada pihak berkuasa termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan polis.
“Punca nahas disiasat oleh pihak berkuasa terlibat dan Bats Aviation akan memaklumkan perkembangan terkini kepada pihak media,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 8 malam tadi, jurulatih penerbangan, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, maut manakala rakannya, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, parah.
Muhammad Din Fikri yang merupakan ketua jurulatih penerbangan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut. – UTUSAN




