Persidangan parlimen sekarang hanya untuk bertikam lidah

Jelebu: Speaker Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim berpendapat persidangan parlimen jika dibenarkan hanya mempertontonkan sesi bertikam lidah dalam kalangan Ahli Parlimen semata-mata.

Rais berkata, usul seperti mahu memecat Perdana Menteri tidak boleh dibuat sekalipun jika Dewan Rakyat dibenarkan bersidang ketika perintah proklamasi darurat sedang berkuat kuasa.

“Saya berpandangan eloklah ditangguhkan dulu biarpun ada sesetengah Ahli Parlimen mahu sidang Dewan Rakyat diadakan.

“Persidangan itu nanti hanya untuk membolehkan Ahli Parlimen bertikam lidah, cerca-mencerca sehingga boleh menimbulkan anggapan tidak baik oleh orang ramai terhadap Dewan Rakyat.

“Sebab itu pada hemat saya, biarlah sesi persidangan ini ditangguhkan sehingga Ogos kerana tiada tujuan jelas mengapa perlu bersidang selain untuk bertikam lidah,” katanya ditemui media pada Majlis Sentuhan Budi Bersatu peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang di Kampung Geylang di sini, hari ini.

Rais berkata, tiada manfaat yang diperolehi sekiranya parlimen dibenarkan bersidang ketika ini apatah lagi kebanyakan Ahli Parlimen sudah tidak sabar untuk bertikam lidah.

Katanya, pertemuannya bersama Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara baru-baru ini tidak membincangkan isu berkaitan sidang parlimen tetapi berkisar kepada perlembagaan negara.

“Sebagai Speaker Dewan Negara, saya tiada masalah untuk Ahli Parlimen bersidang namun persidangan di Dewan Negara diadakan selepas mendapat usul dari Dewan Rakyat disebabkan Dewan Negara tidak boleh mengadakan persidangan dengan sendiri,” katanya.

Scroll to Top