205 individu ditahan ingkar SOP

Kuala Lumpur: Seramai 205 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 193 individu dikompaun, sembilan individu direman, manakala tiga lagi dijamin.

“Antara kesalahan yang direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, tiada penjarakkan fizikal, rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran, premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran dan lain-lain.

“Seramai 3,292 pasukan pematuhan membabitkan 15,113 anggota membuat pemantauan di 5,780 restoran, 4,423 pasar raya, 4,236 bank, 2,165 penjaja, 2,439 pasar awam atau pasar tani, 1,410 kilang dan 1,041 pejabat kerajaan.

“Turut dipantau adalah 3,840 tempat ibadah, 1,607 tempat riadah, 1,426 terminal pengangkutan darat, 315 terminal pengangkutan air dan 200 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, seramai 22 pendatang tanpa izin (Pati) ditahan dalam Operasi Benteng dengan enam kenderaan darat serta dua bot atau kapal dirampas, semalam.

“Dalam operasi ini, terdapat 447 sekatan jalan raya SJR dilakukan iaitu Op Penawar (392), Op Benteng Polis Diraja Malaysia (PDRM) (46) dan Op Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (9).

“Dalam operasi itu juga, sebanyak 111 bot dan kapal dikesan berada di perairan negara melalui enam operasi penglihatan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 66 operasi sanitasi membabitkan 20 zon merah, lima zon jingga, 11 zon kuning dan tiga zon hijau dilaksanakan di seluruh negara, semalam.

“Sehingga kini, sebanyak 18,029 operasi sanitasi dilakukan sejak 30 Mac lalu merangkumi 146 zon secara keseluruhan.

“Antara premis yang disanitasi adalah pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Scroll to Top